Tak dijemput ke mesyuarat Sekreteriat, PH tolong pihak Muda tandatangan MOU kerajaan

Tak dijemput ke mesyuarat Sekreteriat, PH tolong pihak Muda tandatangan MOU kerajaan.

Pakatan Harapan (PH) menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) kerajaan perpaduan bagi pihak Muda disebabkan pakatan pilihan raya yang dimeterai kedua-dua pihak itu sebelum ini, kata Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi.

“Perjanjian (MOU kerajaan perpaduan) yang ada sebelum ini kami tak tandatangani, PH tandatangan bagi pihak Muda,” katanya.

“Sebab Muda ada pakatan pilihan raya (bersama PH pada PRU15). (pakatan Muda-PH) disebut dalam perjanjian.”

Amir berkata, sepatutnya tiada sebarang masalah bagi PH untuk memaklumkan kepada Muda mengenai mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau berharap komunikasi antara PH dan Muda dapat diperbaiki bagi kebaikan semua pihak. Tambahnya, Muda juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dimainkan walaupun tidak terlibat dalam kerajaan.

“Apa salahnya beri makluman pada semua. Sekurang-kurangnya maklumkan sebarang mesyuarat dan acara yang akan berlangsung dan mungkin penerangan hasil daripada keputusan mesyuarat,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, berkata Muda tidak dijemput ke mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada Selasa kerana ia hanya untuk penandatangan perjanjian gabungan pada Januari.

Beliau berkata, penandatangan perjanjian gabungan adalah PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Warisan iaitu pihak yang ditafsirkan sebagai mempunyai tiga Ahli Parlimen atau lebih.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat sekretariat itu untuk pihak yang mempunyai peranan dalam kerajaan iaitu Ahli Parlimen PH, BN, GPS, dan GRS serta sebahagian daripada Jemaah Menteri manakala Yusof Apdal daripada Warisan adalah timbalan menteri.

Anwar yang juga pengerusi PH berkata, pihak lain seperti Muda akan terlibat dalam jawatankuasa yang dibentuk oleh sekretariat bagi memastikan penyelarasan dasar.

Semalam, Amir meluahkan keluhan berikutan kurangnya komunikasi antara PH dan Muda serta mendakwa parti itu tidak diundang ke mesyuarat sekretariat.

Sambil menegaskan beliau tidak kecewa, Amir berkata PH sepatutnya memaklumkan kepada Muda tentang pertemuan itu atau keputusannya.

Katanya, Muda hanya mengetahui perkara dibincangkan pada mesyuarat itu selepas ia disiarkan dalam berita.

Muda dan PH menandatangani pakatan pilihan raya untuk PRU15. Ahli Parlimen tunggal parti itu ialah presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

BACA JUGA:

KJ tegaskan perolehan vaksin Covid-19 ikut prosedur

Pelajar Malaysia akui masih trauma akibat gempa bumi di Turkiye

Video viral ditiktok, banyak bantu bisnes ‘Banana Dibs’ jejaka ini