Muat turun iOS 16.3 sekarang jika iPhone anda ada isu skrin bergaris

Muat turun iOS 16.3 sekarang jika iPhone anda ada isu skrin bergaris.

Apple telah melepaskan kemaskini iOS 16.3 kepada model iPhone yang serasi. Kemaskini ini akan memperbaiki beberapa isu yang timbul serta pepijat keselamatan. Jika anda menghadapi masalah skrin bergaris di mana-mana siri iPhone 14, kemaskini ini dikatakan akan menyelesaikan masalah tersebut.

Kemaskini ini akan dihantar secara automatik kepada iPhone yang terlibat. Kalau peranti anda masih belum menerimanya, ia boleh dimuat turun secara manual dengan pergi ke bahagian Settings > General > Software Update.

Saiz kemaskini ini sekitar 500MB-800MB dan seperti biasa, pengguna digalakkan untuk memuat turun menerusi WiFi serta memiliki tenaga bateri yang mencukupi.

Dalam keterangan kemaskini, iOS 16.3 membawakan wallpaper Unity berkaitan sejarah dan budaya warga kulit hitam, sempena sambutan Bulan Sejarah Kulit Hitam di Amerika Syarikat. Ia juga menambah ciri baru ‘Advanced Data Protection‘ untuk iCloud dan ‘Security Keys‘ buat Apple ID.

Selain itu, beberapa kerentanan di WebKit turut ditampal, termasuk dua lohong keselamatan yang membolehkan kod hasad dilaksanakan apabila melawat laman web tertentu. Untuk peranti yang tidak boleh memasang iOS 16 seperti iPhone 7 dan iPhone SE gen-1 ke bawah, Apple telah menampal kerentanan ini menerusi kemaskini iOS 15.7.3.

Sebelum ini, beberapa pengguna iPhone 14 dan iPhone 14 Pro melaporkan masalah garisan hijau misteri muncul di skrin selepas menghidupkan telefon. Apple mengesahkan bahawa ia bukanlah masalah perkakas dan akan dibaiki dalam kemaskini iOS 16.3. Dilaporkan juga, masalah ini berlaku dengan ketara kepada pengguna iPhone 14 Pro Max.

BACA JUGA :

Apa itu OOTD? Jom ketahui maksudnya…

Cara buat gambar passport guna telefon sahaja..

’Update’ terkini Timeline Twitter berdasarkan pilihan terakhir anda