Lanjut lagi sehingga 5 Januari, keputusan polis perintah berkurung ke atas perairan 7 daerah di Sabah

Lanjut lagi sehingga 5 Januari, keputusan polis perintah berkurung ke atas perairan 7 daerah di Sabah. Perintah berkurung kali ke-201 akan dilanjutkan selama dua minggu bermula esok sehingga 5 Januari depan mengikut Seksyen 31(4) Akta Polis 1967.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata dengan berkuatkuasanya perintah itu, penduduk diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) antara jam 6 petang sehingga 6 pagi sepanjang tempoh terbabit.

“Keperluan untuk meneruskan perintah berkurung ini adalah bagi memastikan kawasan perairan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing di pulau-pulau peranginan.

“Hasil maklumat risikan mendedahkan kumpulan militan Abu Sayyaf dan pihak yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan (KFR) dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan,” katanya.

Tambahnya pelanjutan ini juga bertujuan untuk menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di bahagian daratan kawasan ESSZONE.

“Dengan pelaksanaan perintah ini juga akan mampu memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet serta nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak,” katanya.

Pelaksanaan perintah berkurung meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

BACA JUGA:

Baca berita-berita baik untuk rakyat Malaysia, hasil kestabilan Kerajaan Perpaduan dan aura Anwar sebagai pemimpin negara

Jangan tak percaya, ramai keliru PERKESO dan SOCSO, wajib baca kalau tidak mahu rugi lagi

Semua pihak diseru untuk doakan kesembuhan buat Pengarah JBPM Selangor yang diserang strok