Laku khianat : Awal Ashaari buka cerita sebenar yang berlaku

Laku khianat : Awal Ashaari buka cerita sebenar yang berlaku. Susulan dakwaan melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan, pengacara Awal Ashaari tampil menjelaskan salah faham yang timbul berhubung kes berkenaan.

Menurut Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, insiden itu berlaku disebabkan salah faham antara dia selaku pemilik rumah dan pihak pengurusan perumahan berkenaan.

“Perkataan khianat itu agak keras tapi itulah akta. Ceritanya tiga bulan sebelum raya saya pindah rumah baru, tapi tak ada la pindah sepenuhnya, masih ada lagi barang lama saya di sana (rumah lama).

“Sebelum raya saya ke sana nak ambil barang tapi kad akses untuk masuk tak boleh guna, saya tanya pengurusan mereka kata ada beberapa bulan saya tak bayar yuran pengurusan. Saya faham mengenai itu dan akan bayar… tapi minta bagi masuk untuk ambil barang dulu.

“Mereka tetap kata tak boleh dan minta selesaikan dulu, sedangkan 14 tahun saya beli dan tinggal di situ tak pernah timbul isu saya tak bayar yuran, cuma terlambat bayar mungkin ada sebab saya sibuk. Cuma apabila dah berpindah rumah baharu ni saya terlupa tapi apa pun itu tetap rumah saya,” katanya.

Laku khianat : Awal Ashaari buka cerita sebenar yang berlaku

Awal menjelaskan mengenai perkara itu menerusi siaran langsung di laman Instagram miliknya.

Pada pagi Selasa, Awal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor atas pertuduhan melakukan khianat merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara bulan lalu.

Awal membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah pada pagi Selasa.

Saya turun dan alihkan palang, masuk ke dalam dan kemudian tutup semula menggunakan tangan saya. Itulah tindakan saya. Saya kesal sebab tiada tolak ansur
AWAL ASHAARI
PENGACARA

Mengikut pertuduhan dia didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan Challis Damansara dengan kerugian sebanyak RM600 di pondok pengawal perumahan itu di Jalan PJU 3/30 pukul 11.30 pagi pada 16 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu menjelaskan lanjut tentang insiden berkenaan, Awal mengakui dia bertindak mengalih palang ‘gate’ menggunakan tangannya gara-gara permintaan untuk masuk ke rumah tidak diendahkan oleh pengawal dan pihak pengurusan.

“Tak ada budi bicara atau tolak ansur. Saya kata kalau tak boleh masuk, saya masuk sendiri… saya ambil tindakan alih sedikit pagar menggunakan tangan saya, tak langgar seperti dilaporkan berita.

“Saya turun dan alihkan palang, masuk ke dalam dan kemudian tutup semula menggunakan tangan saya. Itulah tindakan saya. Saya kesal sebab tiada tolak ansur.

“Mungkin kekhilafan saya tak bayar yuran pengurusan tapi saya memang duduk situ, itu membuatkan saya terkilan. Apabila saya dah masuk baru saya tahu mereka buat laporan polis akibat masuk rumah sendiri, macam rasa nak gelak ada, nak menangis pun ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, bekas pengacara program Melodi ini berkata dia terpaksa tampil menjelaskan mengenai perkara ini kerana tidak mahu ada netizen yang salah faham berhubung insiden berkenaan.

“Benda pun dah jadi cuma saya nak memperbetulkan kesilapan org fikir saya buat khianat kat tempat awam. Saya tak langgar harta sesiapa di situ, saya cuma alihkan palang dengan tangan saya untuk masuk rumah saya sendiri.

“Tiada sesiapa cedera, tak ada sesiapa kena pukul, cuma ada sedikit kesilapan dan salah faham sebab guard pun bukan orang tempatan.

“Kalau saya nak jual atau sewa kan rumah itu pun saya masih kena bayar yuran pengurusan, saya nak lari ke mana? Ini cuma salah faham pemilik rumah dan pengurusan rumah sahaja… takkan la saya nak buat aniaya tempat saya tinggal.

“Saya tak nak menidakkan apa-apa, saya mengaku khilaf tentang bayaran tapi itu tidak bermakna saya tak boleh masuk rumah saya, barang-barang saya ada dalam rumah itu dan saya ada hak masuk rumah saya… boleh bincang secara baik,” katanya.

https://w ww.youtube.com/watch?v=ktjR8ZIueHY&ab_channel=mStarOnlineMalaysia

BACA: