Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, menyeru kerajaan negeri supaya mempertimbangkan untuk melantik semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan ketua adat di seluruh Sabah yang diberhentikan sebelum ini.
Katanya, peningkatan kes Covid-19 memerlukan MPKK dan ketua adat menyalurkan bantuan kerajaan kepada rakyat terjejas.
“MPKK memainkan peranan penting dalam membantu mana-mana kerajaan negeri untuk bertindak balas terhadap sebarang kecemasan seperti penularan wabak Covid-19 serta banjir kilat yang berlaku di beberapa daerah sebelum ini.
“Keadaan semasa ketika ini memerlukan penglibatan MPKK yang berpengalaman agar bantuan kerajaan dapat segera disalurkan secara berkesan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Penampang itu bimbang jika pelantikan MPKK baharu akan mengambil masa yang lama selain mengakibatkan bantuan lambat sampai kepada penduduk kampung.
“Ketika Warisan mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2018, sekumpulan MPKK yang dilantik di Penampang memerlukan masa sekurang-kurangnya 1 tahun untuk membiasakan diri dengan prosedur kerajaan di setiap daerah.
“Sekiranya ketua menteri atau kerajaan sudah mengenalpasti mereka yang mempunyai kemampuan untuk menjadi MPKK, maka haruslah dilantik segera kerana rakyat mengharapkan tindakan pantas daripada kerajaan terutama dari segi bantuan.
”Kami menghargai sekiranya ketua menteri yang ada sekarang dapat mengembalikan MPKK yang baru diberhentikan atau segera melantik yang baru, namun mestilah yang mempunyai pengalaman serta efektif dalam membantu masyarakat,” katanya.