Jangan suka menuding jari, UMNO perlu belajar muhasabah

Jangan suka menuding jari, UMNO perlu belajar muhasabah. UMNO perlu bermuhasabah dengan tidak hanya meletakkan kesalahan kepada seseorang individu susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ramai pihak perlu bertanggungjawab atas pencapaian parti itu pada pilihan raya umum lalu.

“Marilah kita bermuhasabah melakukan kritikan kepada diri sendiri mengenai apa yang sudah dilakukan, bukan dengan menuding jari kepada hanya seseorang, ramai yang bertanggungjawab.

“Saya amat tahu bahawa apa yang berlaku adalah harga mahal yang terpaksa kita bayar atas ketiadaan penyatuan pemikiran khususnya pimpinan, penyatuan hati nurani. Inilah harga yang kita bayar dengan 30 juzuk (kerusi Parlimen) yang kita dakap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program temu bual Naratif Khas yang disiarkan di RTM malam ini.

Ahmad Zahid berkata, apa yang penting ketika ini adalah UMNO harus diperkukuhkan semula, apatah lagi parti itu terpukul pada pilihan raya umum yang lalu.

Mengenai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan pemilihan parti, beliau berkata, tahun ini akan ada dua kali PAU iaitu Perhimpunan Agung 2022 dan 2023.

“Selepas PAU 2022, akan ada PAU untuk 2023. Ia akan diadakan mungkin pada pertengahan tahun ini tetapi ramai di luar sana melihat PAU seolah-olah diadakan pemilihan tetapi tidak bagi PAU 2022.

“Maknanya jeda waktu untuk pemilihan di peringkat nasional tidak melebihi enam bulan selepas tarikh PRU dan dalam keadaan begitu, tentunya bukan soal memanjat tiang licin.

“Dalam politik khususnya dalam parti saya, ia bukan soal memanjat tiang licin atau memukul bantal, yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua,” katanya.

Ditanya kemungkinan ramai yang tidak setuju dengan pandangannya, Ahmad Zahid berkata, UMNO harus mempunyai objektif bahawa menyatu padukan parti secara majoriti adalah lebih utama daripada melayani gunting dalam lipatan.

“Jadi, dalam perkara ini, kita harus melihat secara holistik bahawa harus menggunakan pendekatan yang berhikmah dan pada masa sama, tatasusila harus dijadikan asas,” katanya.

BACA JUGA :

Tak bayar tol 45 kali, kereta mewah ditahan

Negeri yang ditabir PAS alami kesukaran dalam pentadbiran negeri – Abdul Hadi Awang

Martabat Bahasa Melayu perlu dipertingkat