Manipulasi Titah Diraja Untuk Raih Undi, Pejabat Sultan Perak Akhirnya Buat Laporan Polis…

Pejabat Sultan Perak membuat laporan polis berhubung satu video yang ditularkan mengenai sebahagian kecil titah diraja oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dilihat mengaitkan dan mengheret kedudukan baginda bagi tujuan politik kepartian.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, berkata laporan polis dibuat oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak pada Sabtu lalu demi melindungi nama baik Sultan Nazrin daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak bagi meraih laba politik.

Dalam kenyataan hari ini, Mohd Zahidi berkata pihaknya percaya mereka menularkan petikan titah Sultan Nazrin pada tahun 2013 itu adalah dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong parti PAS dalam suasana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos nanti.

Menurutnya, video berkenaan memuat naik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin yang dizahirkan pada 19 Februari tahun 2013 yang mana baginda ketika itu memangku sebagai Raja Perak Darul Ridzuan menzahirkan titah di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertemakan ‘Perpaduan Ummah; Harapan, Realiti dan Cabaran’.

Kata kenyataan itu, baginda menzahirkan analisis membabitkan dua parti terbesar Melayu iaitu UMNO dan PAS yang juga dua kuasa politik Melayu dominan ketika itu yang mana baginda tidak hanya menzahirkan kata-kata positif terhadap PAS iaitu pada tahun 2013 namun sebaliknya secara seimbang turut menzahirkan kupasan yang sama terhadap UMNO.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memeriksa kawalan kehormat utama Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen sempena sambutan Hari Pahlawan 2023 peringkat negeri Perak di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto hiasan NSTP/L Manimaran

“Titah baginda mempunyai 7,500 patah perkataan dan mengambil masa selama 90 minit semasa dizahirkan. Bahagian yang memuji parti PAS hanyalah petikan pendek begitu juga dengan pujian terhadap UMNO dan untuk itu tidak timbul bahawa baginda hanya memandang tinggi mengenai PAS.

“Malahan kandungan titah itu sarat menghuraikan sejarah kedua-dua parti Melayu itu dan demi kebaikan bangsa dan negara, pentingnya untuk ummah mencari jalan menjalinkan persefahaman dan kerjasama meskipun memilih pendekatan politik berbeza.

“Baginda memberi ulasan seimbang antara dua parti politik Melayu terbabit dan turut menzahirkan peringatan kepada kedua-dua pihak agar keghairahan mendapatkan sokongan politik dan kuasa jangan sampai memecah belahkan bangsa dan memusnahkan negara,” katanya melalui kenyataan dengan kepala surat Pejabat Dewan Negara Perak, hari ini.

“Melalui kenyataan media yang disiarkan ini adalah ditegaskan bahawa Sultan Nazrin tidak sama sekali memihak dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik.

“Perbuatan menularkan video yang berkaitan sangat tidak beretika dan perbuatan seperti ini disifatkan tidak sopan kepada seorang Raja Pemerintah dan sudah mencemarkan nama baik takhta. Oleh itu penularan video yang berkaitan wajib dihentikan,” kata kenyataan itu.

Baca Selanjutnya :