533 kanak-kanak dari 6 TASKA, 92 TABIKA terima anugerah sijil di kawasan Parlimen Ranau

533 kanak-kanak dari 6 TASKA, 92 TABIKA terima anugerah sijil di kawasan Parlimen Ranau

Seramai 533 orang kanak-kanak dari enam buah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), 92 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Kemas, Kawasan Parlimen Ranau telah menerima anugerah berupa sijil masing-masing pada Majlis Apresiasi di Dewan Masyarakat Ranau pada Khamis.

Majlis perasmian acara tahunan itu telah disempurnakan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.

Turut hadir Penyelia Kemas Ranau, Fairuzufikar Badsyah Mohd Husin, Guru-Guru Tabika dan Taska Kemas serta ibu bapa.

Dalam pada itu Jonathan menyifatkan majlis Apreasiasi itu sebagai suatu penghargaan dan pengiktirafan kejayaan kanak-kanak dalam mengikuti pembelajaran mereka sebagai suatu asas persediaan sebelum melangkah masuk ke alam persekolahan sebenar (Tahun 1) di Sekolah Kebangsaan (SK) kelak.

Menurut Jonathan, kanak-kanak yang telah menamatkan pembelajaran asas itu, tentunya sudah boleh menguasai sekurang-kurangnya 3M iaitu Menulis, Membaca dan Mengira sekali gus memudahkan pembelajaran mereka apabila melangkah masuk ke alam persekolahan sebenar.

“Melalui kemahiran 3M itulah asas anak-anak untuk maju cemerlang persekolahan mereka sehinggalah ke peringkat tinggi atau universiti”, katanya.

Beliau seterusnya menyeru para ibu bapa agar meneruskan ‘Permuafakatan’ memberi kerjasama sepenuhnya kepada guru Tabika dan Taska bagi mempastikan anak-anak mendapat pembelajaran asas di peringkat Tabika atau Taska.

Katanya, kegagalan seseorang anak menguasai 3M agak sukar untuk mengikuti pembelajaran sebenar yang akhirnya menemui kegagalan serta antara faktor berlaku keciciran.

“Justeru kerjasama antara ibu bapa dan guru perlu diletakkan sebagai satu keperluan dan kepentingan bersama demi kejayaan pembelajaran sekali gus menempah kecemerlangan anak-anak dalam kehidupan masa depan mereka”, tambahnya.

BACA JUGA:

Jumlah kematian mangsa gempa bumi Turkiye, Syria terkini cecah 21,000

KJ tegaskan perolehan vaksin Covid-19 ikut prosedur

Pelajar Malaysia akui masih trauma akibat gempa bumi di Turkiye