Zahid mungkin bawa Umno tinggalkan PN

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan parti itu mungkin keluar daripada gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid berkata, sebarang perkongsian yang dilakukan harus diperhalusi semula apabila keikhlasan dan kejujuran diketepikan.

“Untuk berkongsi hidup, apatah lagi berkongsi kuasa, keikhlasan dan kejujuran merupakan prinsip utama perkongsian.

“Apabila keikhlasan dan kejujuran diketepikan, sebarang perkongsian harus dinilai semula,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Hantaran yang dibuat Ahmad Zahid itu turut diakhiri dengan tanda pagar #UMNObangkit selain beliau turut berkongsi sekeping foto ketika berada di masjid seakan-akan memberi maksud tersirat meminta petunjuk ALLAH SWT untuk melakukan keputusan besar.

Semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, UMNO akan mengambil keputusan politik yang besar berikutan keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas tujuh tuduhan penyelewengan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib yang juga bekas bos dan sahabat Ahmad Zahid dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid meminta ahli UMNO berlapang dada dan berfikiran terbuka dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh parti.

Kenyataan terbaharu Ahmad Zahid itu seolah-olah memberi petanda yang kian jelas bahawa UMNO akan meninggalkan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkembangan terbaharu kes membabitkan bekas Presiden UMNO itu yang jelas menunjukkan parti itu kecewa dengan keputusan kehakiman tersebut.

Berita Penuh :  https://www.sinarharian.com.my/article/94545/BERITA/Politik/Zahid-Hamidi-beri-bayangan-UMNO-mungkin-keluar-PN