Dakwaan terhadap sebaran risalah yang mengugut pengundi bukan Melayu terutamanya pengundi Cina untuk tidak keluar mengundi di PRK Dun Mahkota dianggap sebagai tindakan menafikan kerakyataan seorang warganegara.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain menyatakan tindakan sebaran risalah itu adalah untuk menidakkan hak rakyat Malaysia.
Selaku Ketua Amanah Kluang, Zuhan turut terkilan dengan sebaran risalah berkenaan yang menimbulkan kekeliruan terhadap pengundi khususnya yang berbangsa Cina di sini.
“Taktik ini adalah untuk menimbulkan kekeliruan di kalangan pengundi kerana khususnya yang berbangsa Cina untuk tidak keluar mengundi.
“Kita maklum akan hal ini dan sebaran risalah ini berpunca dari mereka yang takutkan undi dari masyarakat Cina kerana tidak memihak kepada mereka,” tegasnya ketika ditemui.
Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan dengan dakwaan bahawa hal itu dilakukan oleh pihak Perikatan Nasional (PN), Zuhan tidak menafikan hal tersebut.
“Dalam pertanding dua penjuru ini kita tengok siapa yang tak mahu pengundi Cina keluar mengundi?
“Jadi taktik tersebut senang diramal sebab PN memang takut dengan undi masyarakat Cina yang memang tidak menyebelahi mereka dalam PRK ini.
“Sepatutnya kita kena raikan suara semua pihak bukan menghalang suara mereka yang mahukan sesuatu dalam mana-mana pilihanraya.
“Ternyata tindakan tersebut jelas menunjukkan bahawa penyebar risalah ini mahu menafikan suara warganegara sesuatu bangsa dalam PRK kali ini,” tegasnya lagi.
Baca juga : Pembangkang jangan sibuk tuntut peruntukkan Ahli Parlimen