Zahid gagal kemudi Umno, akar umbi memberontak

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi perlu kembali “menginsafi” peranannya sebagai seorang ketua parti, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman.

Dia berkata, sebagai presiden Zahid perlu mengawal dan menentukan hala tuju parti agar wakil rakyatnya tidak membuat keputusan mahupun tindakan sesuka hati.

“Presiden perlu ada kawalan ke atas parti dan kepada wakil rakyat mewakili parti dalam kerajaan, jangan buat sesuka hati kerana mereka orang parti.

“Itu perlu ada dalam kepimpinan kita, saya harap presiden akan menginsafi balik peranan dan tanggungjawabnya.

“(Jika) betul kepimpinannya, dia (wakil rakyat) akan ikut. Jika ada yang tak ikut, kena tanya di mana salahnya,” katanya kepada Malaysiakini.

Tajuddin

Tajuddin berkata demikian ketika mengulas tanggapan bahawa Zahid gagal mengawal wakil rakyatnya dan dakwaan Umno sudah hilang hala tujunya.

Ia berkaitan kenyataan Zahid sebelum ini yang dia tidak boleh menghalang wakil rakyat Umno jika mereka ingin menyokong Anwar Ibrahim dalam usaha presiden PKR itu mengumpul sokongan di Dewan Rakyat.

Kenyataan Zahid sebagai respon terhadap dakwaan Anwar bahawa dia mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dan mempunyai “dokumen tetap yang tidak boleh diragui” bagi membuktikannya.

Semalam pula, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menyifatkan parti itu menjadi “pemain politik terpencil” di Sabah dan menggesa Zahid menetapkan hala tuju yang jelas.

“Apa yang berlaku di Sabah memerlukan Umno memikirkan semula pendekatan politiknya. Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan Umno akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan Umno dalam jangka waktu panjang,” katanya.

Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha Yaakub berpandangan teguran Mohamad terhadap Zahid adalah jelas.

“Tok Mat (Mohamad) mahu Umno tentukan hala tuju dalam PRU ke-15, sama ada kekal perkuat Muafakat Nasional (MN) bersama PAS atau MN yang turut ada Bersatu.

“Kita tengok di Sabah, Umno sudah dibuli Bersatu yang umpama ular lidi telah membuli ular sawa (Umno) yang besar,” katanya, merujuk pertembungan antara dua parti itu bagi kedudukan ketua menteri yang akhirnya diberikan kepada Bersatu.

Susulan kenyataan Mohamad itu, Zahid berkata akan membentangkan laporan komprehensif untuk menentukan hala tuju parti, dan ia akan dimulakan dengan perbincangan di peringkat biro politik, sebelum dibawa ke Majlis Tertinggi.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi Umno Armand Azha Abu Hanifah berkata parti itu perlu konsisten melawan PH dan DAP.

“Hari ini belum sampai beberapa bulan kita sudah mula lupa siapa musuh nyata, kita sudah lupa permuafakatan kita.

“Hari ini saya lihat kita kembali bermain di galeri dan naratif ciptaan PH seperti mana PRU-14.

“Pada pandangan saya, jika ini berterusan tanpa disedari, yakinlah sekali lagi kita akan dihukum oleh rakyat,” katanya.

Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/545034