Lumrah manusia, kita perlu bekerja untuk mendapatkan wang sebagai sumber pendapatan. Gaji dan pendapatan yang diperolehi setiap hari atau setiap bulan, akan digunakan untuk menampung segala keperluan hidup.
Apatah lagi jika anda sudah berkeluarga, banyak perkara mustahak yang hendak dilunaskan memerlukan wang. Tanpa kerja keras, pasti tergendala segala perancangan keluarga masing-masing, kan?
Biasanya dalam sesebuah keluarga, ayah dan dibantu oleh ibu, adalah tonggak utama mencari rezeki untuk anak-anak. Jika bujang dewasa dan tinggal bersama ibu bapa, tanggungjawab mencari rezeki itu perlu digalas sama rata.
Sanggup berlakon lumpuh untuk mengelak daripada bekerja
Namun lain pula dengan kisah seorang wanita ini yang didakwa sengaja berpura-pura lumpuh kerana mahu mengelak daripada disuruh bekerja oleh ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain.
Kejadian berkenaan dilapor berlaku melibatkan keluarga di sebuah kampung terpencil di China. Difahamkan, wanita berkenaan tinggal bersama ibu bapanya dan seorang abang sejak kecil lagi.
Menurut Medan Tribunnews, wanita tersebut ‘berlakon’ sakit dan lumpuh untuk tempoh selama 20 tahun. Tindakan itu dipercayai kerana tidak mahu sama-sama menggalas tanggungjawab mencari sumber pendapatan untuk keluarga mereka.
Merasa kasihan dengan keadaan yang dialami wanita itu, ahli keluarganya yang lain bekerja keras mencari rezeki termasuk untuk menyara wanita berkenaan.
Untuk menyara kehidupan keluarga, ibu bapa wanita ini bekerja sebagai petani dan bercucuk tanam di sebuah ladang.
Sementara itu, abang kepada kepada wanita berkenaan merupakan seorang anak yang boleh diharap dan rajin membantu ibu bapanya.
Lelaki itu juga dilatih dan cekap menguruskan rumah seperti memasak, menyapu dan pelbagai tugasan yang lain lagi.
Mengaku lumpuh sedangkan disahkan sihat
Semuanya bermula apabila berlaku pergaduhan besar antara wanita itu dengan abangnya pada suatu hari. Si abang katanya meminta wanita tersebut membantunya mengemas rumah bersama-sama.
Bagaimanapun, permintaan itu tidak diendahkan wanita berkenaan yang terus duduk tanpa berbuat apa-apa.
Berang melihat kelakuan adiknya, si abang didakwa hilang pertimbangan dan menampar muka wanita tersebut. Tidak semena-mena, adiknya rebah dan badan wanita itu menjadi kejang.
Malah, mulut wanita itu juga dikatakan telah berbuih. Melihat situasi yang dialami wanita berkenaan, dia segera dibawa ke hospital.
Apabila kembali sedar, wanita berkenaan mendakwa dia tidak dapat menggerakkan badannya. Namun, doktor yang memeriksa mengesahkan wanita tersebut berada dalam keadaan normal dan tiada apa-apa masalah.
Tetapi, wanita itu terus bertegas bahawa dia tidak dapat bergerak dan hanya mampu berbaring sahaja. Keadaan itu kemudian berlarutan selama tempoh 20 tahun.
Akhirnya, rahsia Don Wing terbongkar selepas 20 tahun
Namun, rahsia berkenaan akhirnya terbongkar apabila ada jiran kepada keluarga itu melihat wanita berkenaan keluar berjalan-jalan pada waktu malam. Malah, mereka mengakui menyaksikan situasi tersebut lebih daripada sekali.
Pada mulanya, ibu bapa wanita itu tidak percaya dan mendakwa jiran-jiran tersebut sengaja membuat tuduhan palsu.
Berbeza dengan si abang, dia sebaliknya mengambil keputusan untuk menyiasat sendiri dakwaan yang dibuat.
Si abang dikatakan bertindak memasang CCTV secara rahsia di tempat tinggal mereka untuk memantau pergerakan wanita berkenaan. Lebih-lebih lagi ketika mereka keluar berkerja di ladang.
Alangkah terkejutnya apabila mereka memeriksa rakaman CCTV berkenaan. Wanita itu jelas kelihatan mampu bergerak dan turut terakam keluar berjalan-jalan di luar rumah pada waktu malam, sebelum ahli keluarganya pulang.
Selepas penipuan itu terbongkar, wanita itu kemudian mengaku bertindak demikian kerana tidak mahu bekerja membantu keluarga.
BACA: Ramai tegur, belajar syukur gaji naik bukan bising sebab fahaman politik