Wanita kental ‘drive’ besi bergerak

Setiap hari, Fara Umira Abd. Halim mula meninggalkan rumah seawal jam 3.30 pagi untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemandu monorel.

Ketika kebanyakan orang masih tidur nyenyak, Fara sudah menempuh perjalanan sejauh 30 kilometer dari Rawang, Selangor, ke Brickfields, Kuala Lumpur untuk memulakan tugasnya.

Sebelum jam 4.30 pagi, ibu kepada seorang anak itu sudah berada di depo, bersiap sedia menghidupkan enjin monorel untuk menyambut kedatangan penumpang.

Wanita kental 'drive' besi bergerak

Inilah rutin harian Fara yang telah bekerja sebagai pemandu monorel atau Pegawai Transit selama hampir lima tahun.

Perjalanan Fara dalam kerjaya ini bermula secara tidak disangka. Apabila melihat tawaran kerja pegawai transit di Facebook, Fara menyangkakan ia adalah pekerjaan pejabat biasa.

Namun, semasa sesi temubual, dia diberitahu jawatan yang dipohon itu adalah sebagai pemandu monorel.

Tawaran itu mencabar Fara, terutama apabila ditanya mengenai benda paling berat yang pernah diangkat dan adakah dia takut gelap atau semak.

Fara menerima tawaran tersebut untuk mencuba sesuatu yang berlainan dan membuktikan kebolehannya dalam bidang yang biasanya didominasi oleh lelaki.

Walaupun awalnya Fara merasa gentar ketika memandu monorel, sokongan rakan sekerja dan latihan tiga bulan di Akademi Prasarana membantu dia mengatasi rasa takut itu.

Meskipun bersaiz kecil, Fara meyakinkan dirinya bahawa dia boleh menjalankan tugas harian dengan baik melalui ilmu yang dipelajari dan persediaan yang mencukupi.

Fara mengakui bahawa memilih untuk menjadi pemandu monorel adalah keputusan yang tepat.

Walaupun dikelilingi oleh rakan sekerja lelaki, dia tidak menghadapi masalah dan cepat menyesuaikan diri.

Baginya, rakan sekerja melayaninya dengan baik tanpa sebarang diskriminasi.

Pada usia 30 tahun, Fara berasa selesa dengan kerjayanya dan bercadang untuk kekal bersama syarikat dalam jangka masa panjang.

Walaupun kadang-kadang rasa gentar, terutama ketika berhadapan dengan keadaan kecemasan seperti tren tergendala, Fara sentiasa memberikan tumpuan dan fokus untuk memastikan penumpang sampai ke destinasi dengan selamat.

Namun, meskipun merasa selesa dengan kerjaya ini, Fara menghadapi cabaran dalam menguruskan masa, terutama setelah melahirkan anak pertamanya tiga tahun lalu.

Dengan tuntutan syif harian yang bermula seawal jam 4.30 pagi hingga 2.30 petang atau syif petang dari jam 2.30 petang hingga 12.30 malam, dia berusaha untuk menyesuaikan diri dan membahagikan masa dengan bijak.

Walaupun menghadapi cabaran, Fara bercadang untuk terus bekerja dalam bidang ini dan memperjuangkan rezeki yang halal untuk keluarganya.

Baca Juga : Abang motor turap jalan lubang dengan batu terus dapat pujian