[VIDEO] Detik cemas burung tersangkut di kabel elektrik

Dron adalah salah satu peranti yang semakin mendapat tempat dalam kehidupan masyarakat moden sama ada mereka memerlukannya atau tidak kerana ia mungkin berguna dalam situasi-situasi tertentu.

Sebuah video yang tular baru-baru ini membuktikan kegunaan dron apabila seekor burung perlu diselamatkan dari tempat yang tinggi. Setelah hampir 12 jam tergantung pada kabel kuasa bervoltan tinggi, seekor burung merpati diselamatkan dengan bantuan dron.

Dalam sebuah video yang kini menjadi viral di media sosial, pegawai polis dilihat menggunakan pita pelekat untuk melekatkan pisau kepada dron yang kemudian diterbangkan berhampiran merpati berkenaan untuk memotong tali yang menyangkutkan burung itu pada kabel elektrik.

Menurut laporan sumber, kejadian tersebut berlaku di Lima, Peru. Selepas diselamatkan, burung merpati itu ditangkap oleh penduduk setempat, yang menggunakan gunting untuk memotong tali yang masih tersangkut di kakinya burung.

Burung yang diselamatkan itu kemudian dimasukkan ke dalam sangkar dan dibawa ke tempat perlindungan tempatan untuk haiwan yang terabai untuk pemeriksaan lanjut.