Seorang guru mengajar al-Quran ditahan polis selepas dilaporkan telah mencabul kira-kira 17 orang murid perempuannya sejak mula bertugas tiga tahun lalu.
Keterlaluan, suspek berusia 51 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan keji tersebut dengan cara meraba kemaluan mangsanya ketika mereka sedang belajar mengaji.
Jenayah dilakukan oleh guru tersebut akhirnya terbongkar apabila seorang mangsa mengadu kepada ibu bapanya yang kemudian tampil membuat laporan di balai polis.
Siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa kemudian mendapati jumlah kanak-kanak yang telah menjadi mangsa suspek sebenarnya mencapai kira-kira 17 orang.
Mengejutkan, hampir kesemua mangsa merupakan anak perempuan kepada jiran tetangga suspek yang berusia di bawah 10 tahun ketika jenayah tersebut dilakukan.
Difahamkan, suspek dikenali sebagai Puji Raharjo itu mengajar mengaji di sebuah kampung terletak di Semarang Barat, Jawa Tengah Indonesia, lapor Jateng iNews.
Menurut pihak polis Semarang, Puji ketika disoal siasat pihaknya mengaku telah mula mencabul sejak tiga tahun lepas dan kali terakhir dilakukan pada Oktober lalu.
Suspek mendakwa terlalu kerap menonton video lucah sehingga membuatkan dirinya tidak mampu mengawal nafsu sendiri saat melihat anak-anak murid perempuannya.
Sementara itu, ketua kampung mengaku terperanjat saat menerima berita tersebut kerana suspek telah dikenali warga setempat sebagai tokoh agama yang disegani.
“Terkejut, tidak terpikir sama sekali,” katanya tidak menyangka tertuduh yang sering memberi khutbah di masjid itu tergamak melakukan perbuatan keji tersebut.
Suspek kini didakwa mengikut Perkara 76 E Undang-undang Perlindungan Kanak-Kanak dengan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda maksimum 15 juta rupiah (RM4,511.10).
Baca juga: Geng jubah putih jadi punca kemalangan geng konvoi