UMNO SELANGOR TUNTUT JAWATAN, PH JOHOR BILA LAGI

Rencana oleh : AMNI JAGAT

Memanglah kalau persoalkan berkenaan jawatan semua akan menuduh kita tamak dan sebagainya, namun perlu disedari bahawa ada lagi faktor lain yang menjadi fokus utama bagi setiap penagih jawatan. Itu yang berlaku di Selangor apabila komponen parti Kerajaan Perpaduan di sana mula bergelora dengan isu penjawatan dalam kerajaan negeri.

Yang menjadi isunya apabila Umno Selangor memohon agar penjawatan kerajaan di negeri itu dapat dikongsi bersama demi kesinambungan atau keberlangsungan kerajaan perpaduan. Cuma persoalannya betulkah Umno ikhlas dalam menjalinkan kerjasama antara sesama parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan itu.

Apa cerita pula dengan kebersamaan komponen Kerajaan Perpaduan di Johor? Apakah Pakatan Harapan (PH) mendapat hak yang sama seperti Umno Selangor dan Negeri Sembilan di negeri yang dikuasai mereka? Jika mahu mengambil contoh pun biarlah ianya adil dan saksama. Apa hak dan jawatan yang diperoleh PH di Johor?

UMNO SELANGOR TUNTUT JAWATAN, PH JOHOR BILA LAGI

Jadi nasihat saya, Umno Selangor kena belajar sabar sepertimana dengan PH di Johor. Apa yang susah sangat untuk membahagikan jawatan di peringkat negeri sehingga membuatkan Umno Johor ini merasa terlalu payah untuk berkongsi dengan PH Johor. Satu hal lagi, PH di Johor pun antara komponen yang mudah selesa sehingga membisu dalam hal tersebut, kalau desak pun hanyalah sekadar acuh tak acuh.

Memang boleh difahami, alasan Umno Selangor untuk mengisi penjawatan JPKK adalah untuk mendapatkan semula keyakinan penduduk kampung yang majoritinya dihuni oleh orang Melayu tetapi bagaimana pula keadaan itu di Johor, apakah Umno Johor dah yakin mendapat sokongan penduduk di bandar yang secara terang menolak mereka pada PRU yang lalu?

Agenda Umno adalah untuk kembalikan sokongan melayu, agenda PH pula mengekalkan sokongan pengundi atau penyokong yang sedia ada dan rata-ratanya banyak di kawasan bandar. Jadi penjawatan PBT di kawasan bandar pun sudah boleh rasanya untuk dikongsikan kepada rakan mereka secara konsesus.

Bukanlah tujuan tulisan ini untuk melagakan tetapi apa yang nak disampaikan adalah persoalan berkenaan dengan nafsu serta lagak sesuatu pihak yang hanya melihat orang lain bersalah berbanding cerminan diri sendiri. PH Johor pun bukanlah suatu komponen yang konkrit dalam memperjuangkan isu ini hanya mereka banyak merasakan selamat dengan keadaan yang sedia ada tanpa merasakan kesannya.

Penguasaan Umno dalam penjawatanan di peringkat negeri ini banyak memberi ‘advantage’ kepada siapa yang menguasainya. Namun apa yang PH tidak sedar adalah pengurusan itu kini dikuasai oleh suatu pihak yang bila-bila masa boleh menjadi musuh mereka. Ini hakikat politik, hari ini kawan esok boleh jadi lawan.

PH terutamanya di Johor perlu belajar dengan sejarah dalam penggal yang lalu apabila kebanyakkan pemimpin tertinggi peringkat negeri terlalu berharap serta menyakini Bersatu yang akhirnya membuatkan mereka dipermainkan dengan jatuhnya pemerintahan mereka. Kelemahan desakan peringkat negeri dari PH akan membuatkan rakan sementara mereka Umno akan menguasai secara mutlak tanpa mereka mampu mengangkat muka di depan rakyat di Johor.

Takkanlah PH hanya nak harapkan Bantuan Rahmah atau Jualan Rahmah sebagai penonjolan diri, bagaimana pula dengan servis kepada rakyat yang mampu menaikkan gred atau taraf seseorang tokoh. Inilah kelopongan yang dialami oleh PH di Johor. Umno sebagai parti yang lama sudah dapat menghidu dari awal akan perkara ini.

Jadi apa yang berlaku di Selangor sepertimana permintaan Umno di sana bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi itu adalah suatu tindakan yang positif bagi parti melayu itu terus relevan dari sisi kerjasama. Kredit boleh diberikan kepada langkah Umno di Selangor yang berani menuntut hak mereka juga kredit boleh diberikan kepada Umno Johor kerana mempertahankan hak mereka. Jadi lemahnya pada siapa? Cuba semak.

Baca Juga : Ini resepi 7 kuih tradisional berbalut daun pisang