Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan, dakwaan pelantikan pengurus besar sebuah hotel milik Lembaga Tabung Haji (TH) membabitkan individu bukan Islam tidak berlaku.
Timbalan Menterinya, Ahmad Marzuk Shaary, berkata soal pelantikan itu tidak lagi berbangkit selepas cadangan mengenainya oleh pihak pengurusan tertinggi ditolak Lembaga Pengarah TH ketika Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 1 Oktober lalu.
Mengulas lanjut beliau berkata, cadangan yang diangkat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff itu juga tidak pernah dibawa kepada sebarang perbincangan dengan pihak Pejabat Menteri atau Timbalan Menteri sebelum dikemukakan kepada Lembaga Pengarah.
“Saya mengambil maklum keresahan umat Islam berhubung tularnya berita cadangan pelantikan seorang profesional bukan Islam sebagai pengurus besar sebuah hotel milik TH.
“Hasil semakan pihak kami, memo tular ditandatangani Datuk Nik Mohd Hasyudeen adalah cadangan lantikan daripada pihak pengurusan tertinggi TH yang dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengarah untuk mendapatkan kelulusan.
“Bagaimanapun, cadangan itu sudahpun ditolak melalui mesyuarat berkenaan. Dengan penolakan ini, tidak berbangkit lagi soal pelantikannya.
“Saya juga ingin menjelaskan secara tuntas dan muktamad bahawa tidak berlaku pelantikan pengurus besar bukan Islam itu, sebagaimana dakwaan atau kegusaran sesetengah pihak, ” katanya melalui kenyataan, di sini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai khabar angin pelantikan individu bukan Islam sebagai Pengurus Besar, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA (MHCC), iaitu sebuah hotel milik penuh Tabung Haji Hotel & Residence Sdn Bhd yang diuruskan oleh THV Management Services Sdn Bhd.
Pada masa sama, Ahmad Marzuk berkata, pihak pengurusan TH juga sudah diarahkan untuk mengemukakan semula cadangan calon pengurus besar baharu yang beragama Islam supaya lebih sesuai dan menepati visi serta roh institusi pelaburan kebanggaan umat Islam itu.
Beliau berkata, malah pihaknya memberi jaminan keutamaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja bagi memulihkan prestasi kewangan TH tetapi juga memastikan segala urus tadbir yang membabitkan institusi ini terjamin dari sudut kepatuhan syariah dan sensitiviti umat Islam..
“Saya menghargai segala komen dan pandangan masyarakat serta sentimen mereka yang gelisah dengan isu sebegini.
“Sehubungan itu, setiap agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk pengurusan TH diingatkan supaya sentiasa lebih peka dengan segala tindakan yang boleh mengundang kerisauan dan keresahan rakyat,” katanya.
Berita penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/740622/pelantikan-pengurus-besar-bukan-islam-hotel-milik-th-tidak-berlaku