TERKINI!!! Perak lulus umur 18 layak menjadi calon DUN

Had umur untuk layak menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri di Perak diturunkan dari 21 tahun kepada 18 tahun selepas pindaan undang-undang berkenaan diluluskan sidang Dewan Negeri hari ini.

Pindaan Rang Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2020 itu diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada semua 59 ADUN.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu ketika sesi penggulungan pembentangan usul berkenaan berkata, pindaan itu selaras dengan peruntukan Seksyen 5 Jadual Ke-8 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Akta A1603) yang diwartakan pada 10 Sept 2019 dan berkuat kuasa pada 11 Sept 2019.

“Susulan daripada pindaan Rang Undang-Undang tersebut ia akan memberi hak serta ruang kepada golongan belia berumur 18 tahun untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya dan seterusnya menjadi calon ahli Dewan Negeri Perak.

“Dengan itu, mereka berpeluang untuk bersuara di Dewan yang mulia ini serta berada bersama-sama kita di sini untuk membahaskan usul-usul serta undang-undang untuk kebaikan negeri ini,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, golongan belia berusia 18 tahun dianggap matang serta diberikan beberapa hak untuk membuat keputusan penting dalam kehidupan mereka selaras dengan Akta Umur Dewasa (Akta 21).

Ia termasuklah berkahwin; bekerja; memperoleh lesen memandu kenderaan; menyertai pasukan beruniform, menandatangani kontrak atau pinjaman, serta dibicarakan sebagai pesalah dewasa sekiranya melakukan jenayah.

“Penurunan had umur kelayakan ini akan membuka ruang kepada belia bergiat aktif dalam politik dan selanjutnya meningkatkan penyertaan belia sebagai warga bertanggungjawab dalam menyumbang kepada demokrasi dan pembangunan negeri.

“Ia juga untuk mengetengahkan suara anak muda dalam pembuatan dasar dan perundangan negeri; membantu belia mempertingkatkan literasi demokrasi dan kematangan melalui pendedahan kepada pengurusan tadbir urus negeri serta membangunkan pelan pewarisan kepimpinan,” katanya.

Di peringkat Persekutuan, usul pindaan had umur ini mendapat sokongan seluruh 211 ahli Parlimen yang hadir ketika dibentangkan di Parlimen pada 16 Julai 2019.

Berita penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/27/perak-lulus-umur-18-tahun-layak-jadi-calon-dun/