Simpan niat nak bina rumah baru mak ayah, 11 beradik ini kongsi duit masing-masing

Peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat sesuai untuk menggambarkan tindakan 11 beradik dari Kampung Chasi Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan yang berpakat menyumbang wang untuk membina kediaman baharu buat ibu bapa mereka.

Kisah itu yang dikongsikan oleh Mohd Tarmize Ramly menerusi akaun TikTok @Mize Aida, anak keenam pasangan Ramly Yaacob, 67 dan Rohani Mat Zain, 58, menerima respons positif netizen dengan video yang dimuat naik di platform itu menerima lebih lima juta tontonan.

Tidak menduga akan tular, Mohd Tarmize, 33, memberitahu Bernama, dia memuat naik video berkenaan selepas ayahnya meninggal dunia akibat strok, tidak lama selepas berpindah masuk ke kediaman baharu berkenaan.

Simpan niat nak bina rumah baru mak ayah, 11 beradik ini kongsi duit masing-masing

“Ayah meninggal dunia pada April tahun lepas. Selepas ayah meninggal, saya terasa kosong, jadi saya cuba buat video tentang memori bersama ayah di rumah baharu untuk dikongsikan di TikTok.

“Saya kongsikan juga video lama termasuk ketika pembinaan rumah yang dibuat pada 2019 lagi. Apabila saya muat naik di TikTok, memang tak sangka masuk laman FYP (For Your Page – khusus untuk video tular),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bercerita lanjut, Mohd Tarmize berkata idea menghadiahkan rumah baharu kepada ibu bapa mereka itu dicetuskan oleh adiknya, Mohd Aizat, 32 yang juga anak ketujuh.

“Kami sebenarnya ada 14 adik-beradik dengan 11 orang sudah bekerja dan tiga masih bersekolah. Jadi, yang menyumbang cuma 11 orang dan tidak ada had sumbanga. Masing-masing sumbang ikut kemampuan dengan sasaran kos awal RM140,000.

“Perancangan asal cuma tiga bilik, tetapi semasa dalam pembinaan, kontraktor sarankan tambah ruang demi keselesaan. Ada antara kami yang bersedia hulur (sumbang) lebih, maka kami sepakat jadikan rumah itu enam bilik tidur dan ruang dapur lebih besar,” ceritanya, menambah kos keseluruhan mencecah RM250,000.

Dia yang bekerja di Pos Malaysia Berhad, cawangan Petaling Jaya, Selangor, berkata kediaman itu dibina di atas tanah milik ibunya dan berhadapan rumah asal mereka.

“Saya dan adik-beradik pun dah bersetuju untuk tidak menuntut kediaman tersebut dan jadi rumah kami berkumpul apabila balik semasa hari raya. Selesalah sikit berbanding rumah lama, kerana ketika itu ada antara kami yang terpaksa tidur di dalam kereta,” katanya, menambah rumah lama mereka kini disewakan.

Menurut Mohd Tarmize, dia dan adik-beradiknya turut menghadiahkan sebuah kereta Perodua Axia bagi kegunaan arwah bapanya termasuk menghantar dan mengambil tiga adik mereka di sekolah.

“Ini sumbangan kami untuk mak dan ayah kerana kami daripada keluarga susah. Mak dan ayah dulu bekerja menoreh getah dan hasil getah pula dibahagi dua dengan tuan tanah,” tambahnya.

Baca :  Salah pakaikan anak baju sekolah, netizen terhibur dengan gelagat Cik Piah