PRN Sabah : SPR akan tentukan dua minggu lagi

Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan diadakan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata suruhanjaya itu memerlukan sedikit masa kerana PRN Sabah membabitkan satu negeri tidak sama dengan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lain.

Katanya, semua maklum bahawa pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pemakluman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“PRN ini tidak sama dengan PRK Chini mahu pun PRK Slim. PRN ini membabitkan satu negeri dengan 73 kawasan DUN.

“Maka ia akan mengambil masa untuk kami menentukan logistik supaya dapat mengadakan satu pilihan raya yang sesuai dan sempurna.

“Kita tidak boleh tergesa gesa, kita kena bersedia betul-betul,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Bengkel Libat Urus Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya Bersama Parti Politik di sini, hari ini.

Bengkel itu dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH 2.0) diadakan dua hari bermula hari ini.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/717753/mesyuarat-khas-spr-prn-sabah-dua-minggu-lagi