PN sekat pembangunan yang telah dilulus oleh PH di Sabah?

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mendakwa sejumlah projek yang diluluskan di Sandakan, Sabah oleh pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini dibatalkan atau ditangguhkan oleh pentadbiran Perikatan Nasional.

Lim dimaklumkan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong bahawa 5 projek bernilai RM10.6 juta dibatalkan pada 8 Julai.

Ia membabitkan projek menaik taraf 24 jambatan di Kampung Sim-Sim, memasang sistem kumbahan di 400 rumah di Kampung Cina Sim-Sim, menaik taraf dewan masyarakat di Tanjong Papat, projek jalan raya di persimpangan Jalan St Monica, dan projek baik pulih rumah orang cacat penglihatan.

“Projek naik taraf bernilai RM80 juta untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sandakan yang telah dimulakan kini ditangguhkan, sehingga menimbulkan ketidakpastian apakah ia akan diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

“Syukur, dana khas untuk Hospital Sandakan sebanyak RM10.6 juta, sekolah-sekolah Sandakan sebanyak RM280,000, RM107,000 untuk gereja, kuil, dan masjid sudah diagihkan dan tidak dapat dibatalkan.”

Lim mendakwa pembatalan projek itu “tindakan politik balas dendam yang jelas” kerana tidak menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan cadangan Suruhanjaya Cobbold agar Sabah dilayan sebagai rakan kongsi setara.

Beliau turut menyelar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana mengatakan kerajaan Persekutuan hanya dapat memberi bantuan kepada Sabah setakat mana yang diperuntukkan bawah Perlembagaan Persekutuan kerana Sabah dan Putrajaya tidak sehaluan.

Menurut laporan Bernama, Muhyiddin mengatakan lebih banyak bantuan dan peruntukan dapat diperluas ke Sabah jika kepemimpinannya sehaluan dengan kerajaan persekutuan.

Lim berkata rakyat Sandakan dan Sabah harus memilih Warisan Plus untuk menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan pusat supaya tidak bermain politik dengan projek pembangunan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/09/22/projek-di-sandakan-dilulus-ph-sudah-dibatal-atau-tangguh-kata-guan-eng/