Mampukah Malaysia laksana kerja 4 hari seminggu?

Mampukah Malaysia laksana kerja 4 hari seminggu? Portal berita Nikkei Asia baru-baru ini melaporkan, firma-firma dan kerajaan seluruh Asia kini sedang cuba melaksanakan idea tempoh bekerja 4 hari seminggu.

Seriuslah. Lepas ni Jumaat, Sabtu dan Ahad cuti? Biar betul?

Pelaksanaan kerja 4 hari seminggu tersebut walau bagaimanapun perlu dibuat secara berhati-hati susulan kajian yang mendapati waktu kerja sedia ada dilihat memberi kesan buruk kepada kesihatan pekerja dan tidak menterjemahkan produktiviti yang lebih tinggi.

Jepun yang merupakan antara negara yang terkenal dengan budaya kerja lebih masa, kini cuba melaksanakan sistem baharu itu dengan beberapa syarikat gergasi dilaporkan akan mula mengorak langkah pertama.

Hitachi telah mengumumkan akan melaksanakan sistem kerja 4 hari seminggu kepada 15,000 pekerjanya dalam tahun kewangan ini dan sama juga dengan syarikat pembangun permainan Game Freak serta jenama besar elektronik seperti Panasonic dan NEC.

Mampukah Malaysia laksana kerja 4 hari seminggu?

Jepun memang selama ini terkenal dengan masalah Karoshi, iaitu kematian akibat kerja lebih masa dan isu yang semakin buruk ini telah mencetuskan kegusaran orang ramai.

Menurut angka rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan Jepun, sehingga Mac 2021, terdapat 2,800 tuntutan ganti rugi berkaitan Karoshi, meningkat 43% berbanding 10 tahun lalu.

Pada 2015, seorang pekerja berusia 24 tahun di sebuah syarikat pengiklanan, Dentsu, dilaporkan telah membunuh diri ekoran terlalu lama bekerja lebih masa.

Budaya kerja lebih masa yang hampir sama turut dipraktikkan di negara-negara seperti China dan Korea Selatan.

Di China, terdapat budaya kerja ‘996’ iaitu tempoh bekerja 9 pagi hingga 9 malam dan enam hari seminggu.

Di Korea Selatan pula secara purata penduduknya bekerja selama 1,908 jam pada 2020, tertinggi di Asia dan 221 jam melebihi purata Organisasi Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD).

Namun, syarikat berasaskan pendidikan di Korea Selatan, Eduwill dilaporkan telah pun melaksanakan sistem kerja 4 hari seminggu sejak 2019 lagi.

India pula kini dalam proses melaksanakan 4 kod buruh baru tahun ini yang dijangka mengubah waktu bekerja termasuk memberi pilihan kepada mereka untuk bekerja 4 hari seminggu.

Negara-negara lain di rantau ini turut dilaporkan sedang menuju ke arah sistem yang sama misalnya firma Alami dari negara jiran, Indonesia.

Laporan oleh firma kajian Milieu Insights pada Februari lalu mendapati trend sama turut dikesan di rantau ini dengan 78% responden di Vietnam dan 69% di Indonesia mahu waktu bekerja mingguan yang lebih pendek.

Di Malaysia, Pemangku Presiden Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, cadangan itu bersesuaian kepada beberapa industri sahaja.

Menurutnya, ada sektor yang tidak relevan untuk kerja 4 hari seminggu seperti kumpulan PKS, sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

MTUC turut mencadangkan supaya perkara ini diperhalusi semua pihak termasuk majikan, pekerja mahupun kerajaan bagi mengelakkan kesan negatif yang bakal timbul seperti pemotongan gaji dan elaun pekerja.

Pengasas Gig X Global, Shareen Shariza Abdul Ghani ketika diminta mengulas mengenai isu ini turut berpendapat ianya perlu diputuskan secara berhati-hati oleh semua pihak.

BACA: Kerajaan Russia anggap bakar quran di negara itu satu jenayah besar