KPM tidak berhasrat membuat dasar baru, tumpuan kepada tujuh teras utama

KPM tidak berhasrat membuat dasar baru, tumpuan kepada tujuh teras utama.

Kementerian Pendidikan (KPM) tidak berhasrat melaksanakan dasar baharu buat masa ini sebaliknya mahu memberi tumpuan menangani perkara berbangkit berkaitan isu pendidikan.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata amat penting bagi kementerian meneruskan dasar sedia ada dan pada masa sama memberi tumpuan kepada beberapa isu teras.

“Setiap kali pertukaran kerajaan berlaku, pertanyaan paling besar ialah berkaitan apakah navigasi (arah tuju) KPM selepas ini dan semestinya tumpuan kita seperti diumumkan Perdana Menteri mengenai isu ekonomi serta kos sara hidup.

“Sebab itu KPM tidak berhasrat ketika ini untuk membuat apa-apa dasar baharu, tumpuan kita kepada ekonomi dan kos sara hidup yang sebenarnya memberi kesan kepada KPM dan semua warga pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara yang disiarkan di Bernama TV malam ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, keutamaan KPM ketika ini adalah memberi tumpuan kepada tujuh teras utama yang perlu diterjemahkan dalam gerak kerja kementerian selepas ini.

Katanya, tujuh teras utama itu amat penting untuk dijadikan landasan dan peluncuran kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan berakhir pada 2025.

“Antaranya, sistem penyampaian yang mesti efektif, beban guru yang menjadi topik panas dalam warga pendidik dan sebenarnya dalam tempoh 23 hari saya memegang jawatan sebagai menteri, kita banyak mendengar dan mendapatkan input.

“Sebab itu sistem penyampaian ini menjadi isu utama dalam tujuh teras kita. Kedua karamah insaniah, mempopularkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

“Jadi untuk sampai kepada konsep ini, sistem penyampaian kena betul, beban guru kena ditangani dan seterusnya mengenai keupayaan digital yang kita sedang menuju ke arah dasar digital dalam pembelajaran. Jadi kita kena siapkan prasarana dan infrastrukturnya,” katanya.

BACA JUGA:

Tahukah anda, ada manusia Raksasa yang hidup pada zaman nabi?

Perempuan yang sudah tua tidak wajib pakai tudung? Ini pencerahannya

Hukum Qadha solat bagi seseorang yang meninggalkan solat dengan sengaja