KPM serahkan pihak sekolah tentukan sama ada pelajar perlu memakai tali leher atau sebaliknya

KPM serahkan pihak sekolah tentukan sama ada pelajar perlu memakai tali leher atau sebaliknya.

Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kelonggaran kepada pengurusan sekolah untuk membenarkan pelajar mereka memakai tali leher ataupun sebaliknya, kerana ia adalah di bawah bidang kuasa sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menyerahkan kepada sekolah bagi menentukan sama ada pelajar masing-masing masih perlu memakai tali leher atau sebaliknya.

“Mengenai perkara ini (pemakaian tali leher oleh pelajar) kita serah pada pengurusan sekolah kerana pemakaian tali leher adalah di bawah bidang kuasa sekolah.

“Kita beri kelonggaran kepada pihak sekolah untuk terus pakai (tali leher) ataupun tidak. Tidak ada isu,” katanya kepada media selepas melawat dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media susulan Dewan Rakyat kini melonggarkan pemakaian tali leher dalam kalangan ahlinya.

Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat dikecualikan daripada memakai tali leher.

Kebenaran itu diputuskan oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas mendapat permintaan serta cadangan daripada wakil rakyat.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatannya ke dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Fadhlina berkata ia adalah pendekatan KPM untuk mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi (sekolah).

“Kita mendapatkan maklum balas daripada guru dan juga seluruh kakitangan sekolah dan pastikan keutamaan dan kebajikan kita adalah pelajar.

“Insya-Allah lawatan ini akan diteruskan lagi ke sekolah lain untuk melihat beberapa perkara seperti infrastruktur dan juga isu berkait rapat kebajikan,” katanya.

BACA JUGA:

Baik untuk industri pelancongan Sabah, penerbangan KK-HK dibuka semula

Dr Adham bidas Lokman berkait isu pancing undi PAU, sifatkan ia sebagai fitnah

Maybank utamakan keselamatan siber, jamin data pelanggan tetap selamat