Kes arwah Adib ditutup, netizen setuju dengan respon bapa arwah

Keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim tetap berharap pihak berkuasa akan terus melakukan siasatan berhubung kes kematian anggota bomba itu.

Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, berkata kematian anaknya masih belum terbela menyebabkan ahli keluarga tidak berpuas hati sekiranya kes itu terus ditutup.

“Sekiranya mahu tutup sementara, tetapi dalam masa sama pihak berkuasa meneruskan siasatan, itu tidak apa, kita cuma tak mahu kes ditutup terus.

“Saya harap pihak polis terus melakukan siasatan, jika ada (siasatan) mesti akan ada petunjuk baharu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Mohd Kassim yang juga pesawah berkata, beliau akan berbincang dengan peguam keluarga untuk mengambil tindakan yang sesuai bagi memastikan kes anaknya mendapat pembelaan.

“Saya dan isteri pasti akan kecewa jika kes ini ditutup terus, saya akan bincang dengan peguam keluarga dan meminta nasihat sekiranya ada tindakan yang sesuai boleh diambil untuk membela kematian anak saya,” kata bapa kepada empat anak itu.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya mengalami cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Berita Penuh : https://khalifahmedianetworks.com/kes-arwah-adib-ditutup-ini-respon-bapa-arwah-buat-ramai-setuju/?fbclid=IwAR3MLQMQ501S4ivpsi5FyM3l_oaPBd9-8OyrKAi-F8bj_zZmjZEiEn58_Os

BACA JUGA :
Siap sedia ke fasa Endemik , kerajaan sudah beli ubat Antiviral
Mesej selamat tinggal dari padang pasir
[VIDEO] Faizal Tahir bimbing ‘Mat Saleh’ ucap Syahadah bikin netizen meremang