Kerajaan PN buat keputusan salah hingga menteri sendiri positif Covid 19

Seorang ahli Parlimen PKR berkata kes Covid-19 membabitkan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menunjukkan kerajaan tersilap dalam pendekatannya terhadap mereka yang pulang dari Sabah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berkata keputusan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob untuk tidak mewajibkan saringan dan kuarantin bagi mereka yang pulang dari Sabah sebelum 27 Sept adalah “salah” kerana Zulkifli dilaporkan kembali ke Semenanjung sebelum pilihan raya negeri.

“Kes Zulkifli bukti paling kukuh keputusan Ismail Sabri Yaakob untuk tidak mewajibkan saringan dan kuarantin bagi yang pulang dari Sabah sebelum 27 Sept adalah keputusan yang tidak berasaskan bukti, sains perubatan, dan tidak betul. Ia adalah keputusan yang salah,” katanya di Facebook hari ini.

Fahmi berkata keputusan kerajaan membenarkan mereka yang pulang dari Sabah menanggalkan gelang merah jambu selepas ujian saringan pertama didapati negatif juga “salah”.

“Juga adalah keputusan yang tidak berasaskan fakta sains perubatan, dan tidak betul. Juga keputusan yang salah,” katanya.

Berdasarkan catatan di media sosial, Zulkifli pernah berada di Sandakan dan Tuaran, sebelum kembali ke Semenanjung pada 24 Sept.

Beliau juga pernah menghadiri beberapa acara di Kelantan, Terengganu, dan Negeri Sembilan sebelum disahkan positif Covid-19.

Pada 27 Sept, Ismail menyatakan tidak perlu bagi mereka yang pulang dari Sabah untuk menjalani kuarantin penuh 14 hari selepas keputusan ujian mengatakan negatif.

Pada 13 Sept, sebelum pilihan raya di Sabah, Ismail berkata mereka yang pulang dari Sabah tidak perlu menjalani kuarantin, mengatakan keadaan di Tawau ketika itu terkawal.

Badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0, juga menyeru pertimbangan teliti terhadap kuarantin ke atas mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah, mengatakan langkah itu mungkin tidak mengalakkan pengundi pulang ke Sabah untuk mengundi pada 26 Sept.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/10/06/kes-covid-19-babit-menteri-bukti-kerajaan-buat-keputusan-salah-kata-ahli-parlimen/