Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) perlu memperincikan dengan jelas mengenai apa yang diperlukan jabatan berkenaan bagi meluluskan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pihak Jawatankuasa Penaja Parti sentiasa terbuka dan bersedia untuk melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi segera melengkapkan proses berkenaan.
Tambahnya, pihaknya turut berharap agar JPPM segera menghentikan apa yang didakwanya ‘permainan politik’ yang direncana pihak tertentu untuk melambat-lambatkan atau menghalang penubuhan sebuah parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan sedia ada.
“Lama sangat (JPPM) nak cari benda yang tak betul tu. Dah jumpa (mereka) berkali dah, tapi masih lagi kononnya ada yang tak betul.
“Kita bersedia (untuk perbetul dan siapkan apa yang diperlukan), tapi janganlah main politik pasal (YDP) Agong dah nasihat jangan kita ada banyak politik.
“Ini tindakan (yang dilakukan seperti) nak halang satu parti yang tak bersetuju dengan kerajaan daripada didaftar. (Ia) adalah satu tindakan politik,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Perjumpaan bersama wakil Parti Pejuang Tanah Air Parlimen Langkawi di sebuah hotel di Padang Matsirat, Langkawi pada Sabtu.
Pada Jumaat, JPPM menerusi satu kenyataan menyifatkan dakwaan Jawatankuasa Penaja Parti Pejuang Tanah Air tentang pendaftaran parti mereka dilengah-lengahkan, adalah tidak berasas sama sekali.
Jelas JPPM, semakan rekod hingga 29 Oktober mendapati permohonan parti berkenaan belum diselesaikan sepenuhnya berdasarkan sistem eROSES.
Jabatan itu berkata pihak Jawatankuasa Penaja Parti juga diingatkan untuk berhubung terus dengan JPPM bagi menyelesaikan urusan permohonan pendaftaran tersebut.
Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/pendaftaran-pejuang-apa-lagi-jppm-mahu-tun-m-266218