Tokoh wartawan veteran A Kadir Jasin bersetuju dengan kenyataan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyifatkan Bersatu hanya ‘ular lidi’ dalam Muafakat Nasional.
Malah, katanya, Bersatu ketika ini mungkin juga ‘ular air’ yang menyusur bumi dan makan katak.
“…saya setuju dengan Tengku Razaleigh bahawa dalam MN (Muafakat Nasional), Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali adalah ular lidi. Atau mungkin juga hanya ular air (water snake) yang menyusur bumi dan makan katak,” katanya dalam tulisan di Facebook, hari ini.
Kadir berkata demikian sebagai respons kepada Tengku Razaleigh yang mengibaratkan Bersatu sebagai ‘ular lidi’ dan tidak sesuai untuk bekerjasama dengan Umno yang disifatkan sebagai ‘ular sawa’.
Tengku Razaleigh yang lebih mesra dipanggil Ku Li juga berkata MN tidak sepatutnya menerima Bersatu kerana “pengkhianatan” parti itu menyebabkan BN tumbang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Sesetengah orang kata macam mana ular lidi nak masuk berkawan dengan ular sawa, bukan kita nak rendahkan (Bersatu), tetapi standard itu kalau nak bersama boleh tetapi ukuran mesti ikut piawaian yang boleh diterima masyarakat.
“Barulah ahli-ahli kita boleh terima, kita takut berlaku pecah-belah pula selepas ini,” katanya dipetik dalam video wawancara bersama TMI.
Untuk rekod, ular lidi dikenali sebagai ular bersaiz kecil yang memakan serangga, sementara ular sawa dikenali sebagai haiwan pemangsa yang mempunyai saiz besar.
Bagaimanapun, Kadir dalam kenyataannya mengingatkan bahawa Bersatu pernah mempunyai ‘bisa’ apabila mengalahkan BN ketika parti itu bersama Pakatan Harapan (PH).
“Saya ahli Bersatu ketika PH mengalahkan dan memalukan BN.
“Tahniah kepada Tengku Razaleigh kerana kenal jenis-jenis ular. Dia orang Kelantan dan kerusi parlimennya Gua Musang yang masih banyak hutan rimba. Jadi tidak peliklah kalau dia pakar mengenai ular.
“Ketika Bersatu original bergabung dalam PH dan mengalahkan BN pada 9 Mei 2018, ia adalah ular berbisa,” katanya.
Tambahnya, Bersatu juga tidak mengkhianati BN seperti yang didakwa Tengku Razaleigh.
“Bersatu dan rakan-rakan PH won fair and square (secara adil) walaupun dikhianati oleh kerajaan kleptokrasi BN dengan bermacam-macam taktik kotor.
“Saya amat yakin yang Tengku Razaleigh tidak nyanyuk maka dia pasti ingat sabotaj kerajaan BN terhadap PH ketika PRU 2018; Bagaimana Bersatu diharamkan, PH dinafikan pendaftaran dan terpaksa bertanding menggunakan simbol PKR.
“Yang terikut-ikut cara khianat dan sabotaj BN adalah geng ‘langkah Sheraton’ yang mengkhianati mandat rakyat jelata dengan merampas kuasa dan mendirikan kerajaan tebuk atap yang diberi nama Perikatan Nasional (PN),” ujarnya.
Kadir yang juga bekas ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu menegaskan, jika Tengku Razaleigh menganggap diri ular tedung selar yang berbisa, dia tentu tidak menyokong dan duduk bersama ‘ular lidi’ (Bersatu) dalam kerajaan PN.
Sebaliknya, kata Kadir, Tengku Razaleigh akan berdiri sendiri dan menjadi anggota parlimen bebas.
Dalam kenyataan sama, Kadir juga memaklumkan bahawa dia tidak lagi terikat dengan mana-mana parti politik.
“Sebagai catatan, saya tidak terikat lagi dengan mana-mana parti politik. Saya keluar Bersatu secara rasmi pada 6 Ogos lalu dan mengisytiharkan diri saya bebas daripada politik kepartian,” katanya
Tengku Razaleigh ketika mengulas penyertaan Bersatu dalam MN sebelum ini berkata ukuran piawaian sesebuah parti haruslah boleh diterima masyarakat.
Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/543311