Hassan Karim tuntut janji Anwar letak SPRM bawah parlimen

Hassan Karim tuntut janji Anwar letak SPRM bawah parlimen.

Seorang wakil rakyat PKR menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bawah bidang kuasa Parlimen, seperti yang dijanjikan Pakatan Harapan sejak PRU14.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, memberi amaran rakyat tidak akan mengambil serius ikrar Pakatan Harapan sekiranya kerajaan perpaduan yang dianggotainya tidak tunaikan janji itu.

“Tak elok apabila dah menang lupakan janji. Mungkir janji sekali, sampai bila-bila rakyat tak percaya lagi,” katanya kepada FMT.

Hassan mengingatkan bahawa Anwar sering bercakap tentang tadbir urus dan tata kelola kerajaan yang baik, serta membanteras rasuah, ketirisan, dan pecah amanah.

“Cakap-cakap itu tidak ada makna jika reformasi tidak dilakukan,” katanya.

Hassan salah seorang ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang dilantik Agong bagi tempoh 2021-2024. Jawatankuasa itu diberi peranan untuk menasihati perdana menteri mengenai aspek masalah rasuah dan memeriksa laporan tahunan SPRM, antara lain.

“Maka saya tanpa kompromi menuntut Anwar dan kerajaan perpaduan pimpinannya supaya memenuhi janji PH dalam manifesto pilihan rayanya,” katanya.

Hassan mengulas kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bahawa kerajaan sehingga kini belum berbincang untuk meletakkan SPRM bawah bidang kuasa Parlimen.

Menteri itu ditanya sama ada kerajaan bercadang untuk meletakkan SPRM bawah Parlimen selepas Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, menuduh Putrajaya menggunakan badan anti-rasuah itu sebagai alat politik.

Selepas SPRM membekukan akaun Bersatu baru-baru ini, Hamzah mendakwa, tindakan itu bertujuan memusnahkan kredibiliti parti dan Perikatan Nasional (PN).

BACA JUGA:

AS laksanakan sekatan ke atas firma Malaysia yang terbabit dalam penjualan petroleum Iran bernilai ratusan juta dollar

CR7 jaring 4 gol menewaskan Al Wehda, perolehi 503 gol untuk lima kelab berbeza

533 kanak-kanak dari 6 TASKA, 92 TABIKA terima anugerah sijil di kawasan Parlimen Ranau