Dr Kamarul ramal Tun M akan lenyap dari radar politik lepas PRU15

Parti baharu yang dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja akan gagal menjadi kuasa penentu tetapi ia juga akan menyebabkan beliau sendiri akan hilang terus dari radar politik Malaysia selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, parti baharu itu mahu menjadi blok ketiga yang neutral tanpa berpakat sama ada dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) sedangkan realiti politik Malaysia menunjukkan negara sedang menuju ke arah sistem dua parti dengan blok ketiga tidak menjadi pilihan dan memberi keyakinan kepada pengundi.

“Tanpa berpakat dengan PH dan PN, parti baru ini dijangkakan bukan sahaja akan gagal merebut kerusi baru tetapi akan turut gagal mengekalkan 6 kerusi sedia adanya, iaitu P004 Langkawi, P005 Jerlun, P006 Kubang Pasu, P146 Muar, P149 Sri Gading dan P151 Simpang Renggam,” katanya dalam hantaran pada laman Facebook hari ini.

Pada Jumaat lalu, bekas Perdana menteri itu mengumumkan penubuhan menubuhkan sebuah parti berteraskan Melayu yang tidak menyokong kerajaan mahupun pembangkang.

Jelas Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, parti itu akan jadi kuasa ketiga dalam politik negara.

Menurut Kamarul Zaman, berbeza dengan penubuhan Bersatu tatkala isu rasuah sedang mendapat liputan besar media, isu rasuah yang cuba dijuarai oleh parti baharu itu sudah tidak lagi menjadi satu isu besar bila beberapa pemimpin telah didakwa di mahkamah.

Tambah beliau, kenyataan Dr. Mahathir bahawa parti baru itu tidak memerlukan ahli yang ramai tetapi memerlukan ahli yang komited juga tidak memungkinkan kejayaannya.

Ini kerana ia bercanggah dengan prinsip asas demokrasi yang meletakkan suara teramai sebagai penentu pemerintahan, ujar beliau.

“Pengoperasian parti baru ini memerlukan masa, tenaga dan kos yang banyak kerana ia memerlukan pencarian ahli serta penubuhan organisasi di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat yang bukan merupakan satu kerja senang kerana perlu bermula dari scratch (awal), katanya.

Kamarul Zaman berkata, Dr. Mahathir hanya akan membuang masa, tenaga dan kos untuk menubuhkan parti baru itu sedangkan beliau sepatutnya boleh mengatasi semua masalah dengan mudah dengan menyertai parti politik sedia ada.

Tambah beliau, lebih memburukkan keadaan adalah penamaan Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Penaja dan penamaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Presiden Penaja parti baru itu.

Katanya, ia memberi gambaran bahawa parti baharu itu adalah sebuah parti yang bercorak kekeluargaan dan kenegerian (Kedah).

Berita penuh:https://malaysiagazette.com/2020/08/09/parti-baharu-akan-gagal-tun-m-lenyap-dari-radar-politik-selepas-pru-15-penganalisis/