Ditemui di dalam mesin basuh, budak 3 tahun disahkan meninggal dunia

Ditemui di dalam mesin basuh, budak 3 tahun disahkan meninggal dunia. Pihak berkuasa Paris melancarkan siasatan Jumaat lalu selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia akibat lemas di dalam sebuah mesin basuh milik keluarganya.

Menurut pihak pendakwa raya, kanak-kanak tersebut ditemui di dalam mesin basuh itu di sebuah apartmen milik keluarganya di timur laut Paris pada malam Khamis lalu.

Kehilangan kanak-kanak itu pada mulanya hanya disedari ketika bapanya makan malam bersama ibunya serta salah seorang anak mereka yang lain.

Pada akhir makan malam itu, ibu bapanya menjadi bimbang tentang ketiadaan anak mereka. Ia menyebabkan seluruh keluarga pergi mencarinya di bahagian dalam dan di luar apartmen dan meminta bantuan jiran mereka.

Bagaimanapun, dilaporkan bahawa mangsa akhirnya ditemui kira-kira pukul 10.30 malam (waktu tempatan) di apartmen tersebut dan bapanya segera menghubungi perkhidmatan kecemasan untuk mendapatkan bantuan perubatan.

Kanak-kanak itu sudah berada dalam keadaan kritikal ketika diselamatkan dan dia disahkan meninggal dunia sejurus selepas pukul 11.30 malam (waktu tempatan).

Menurut bapanya, pintu mesin basuh itu berada dalam keadaan tertutup sebelum ahli keluarga menemui anak mereka berada di dalamnya.

Maklumat awal menunjukkan bahawa kematian kanak-kanak tersebut boleh dikaitkan dengan sesak nafas dan tiada tanda-tanda keganasan pada tubuhnya.

BACA JUGA :

Kerjasama KPK dan LGM, jaga kebajikan pekebun kecil getah

Tunggang motosikal dengan aksi berbahaya, lima lelaki ditahan

Sanusi anggap Rafizi seolah menghina pengundi berkaitan wang rasuah semasa PRU15