DAP tolak idea rombakan Kabinet, gesa Muhyiddin bekerja bukan berpolitik sahaja

DAP menggesa Perdana Menteri menyatakan bahawa tidak ada rombakan Kabinet akan dilakukan dalam waktu terdekat ini.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng juga mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin menghentikan penawaran kedudukan dan jawatan politik secara tidak bermaruah dan tidak jujur kepada Ahli Parlimen dalam Perikatan Nasional (PN).

Beliau mengajak kerajaan PN agar memfokuskan kepada usaha untuk menyatukan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Bukannya menggunakan retorik perkauman dan agama yang memecahbelahkan untuk menyokong wira-wira barisan hadapan kita memenangi pertempuran melawan Covid-19

“Melawan Covid-19 adalah penting kerana gelombang ketiga wabak jangkitan ini telah mencapai tahap tertinggi, iaitu sebanyak 871 kes semalam.

“Oleh itu, daripada menyogok sokongan Ahli Parlimen dengan jawatan GLC dan Pengerusi Petronas atau umpan jawatan melalui rombakan Kabinet, lebih baik masa dan usaha digunakan untuk membetulkan kegagalan kerajaannya dalam menangani krisis Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng turut menjelaskan kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Abd. Samad berhubung pendirian DAP terhadap sokongan UMNO kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, tidak ada pihak luar dari DAP berhak untuk berbuat (keluar kenyataan) demikian.

Katanya, perkara itu telah dijawab dan pendirian DAP dinyatakan dengan jelas dalam kenyataannya kepada akhbar di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

“Dasar dan pendirian politik DAP hanya dapat dinyatakan melalui Pengerusi Nasional, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Agung sahaja.

“Khususnya, kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung adalah mewakili parti, kecuali dinyatakan dengan jelas ianya pendapat peribadi semata-mata.

“Saya diminta media memberi komen pendirian DAP mengenai perkembangan politik semasa berikutan perpecahan PN dan parti komponennya kerana tidak berpuas hati dengan kelemahan Perdana Menteri dalam menangani krisis kesihatan Covid-19,” katanya.

Namun, kata Guan Eng, tidak ada keperluan untuk menyatakan atau mengulangi pendirian parti ketika orang awam mendambakan kerajaan yang bertanggungjawab kepada kepentingan negara dan rakyat. – MalaysiaGazette

Berita penuh: https://malaysiagazette.com/2020/10/20/dap-harap-tidak-ada-rombakan-kabinet/