Dah 2024 Malaysia masih import sayur ke? Ramai tak tahu ini peladang kita tengah buat

Kini, walaupun sudah melangkah ke tahun 2024, negara kita masih terus bergantung kepada import makanan asas dari luar negara dengan perbelanjaan tahunan yang mencapai puluhan bilion ringgit. Dari bawang India hingga tepung gandum Australia, dan bahkan beras dari Thailand, kita masih bergantung pada bekalan luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada bulan Ogos tahun lalu menggariskan kebimbangan beliau tentang situasi ini. Beliau menyoroti bahawa Malaysia mempunyai sumber alam yang cukup, namun masih bergantung kepada import makanan secara besar-besaran sehingga mencecah RM70 bilion setahun.

Ketergantungan yang tinggi ini pastinya akan memberi impak terhadap kos sara hidup rakyat tempatan. Anwar juga menekankan bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan India, seperti kenaikan cukai eksport bawang merah dan bawang putih, bukanlah di bawah kawalan kita.

Menyedari akan krisis ini, kerajaan melalui kementerian dan agensi di bawahnya telah berganding bahu untuk membangunkan industri pertanian tempatan. Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merangka fokus strategik dalam Pelan Korporat ke-7 (2021-2025) untuk memastikan bekalan makanan negara mencukupi dengan usaha bersama para peladang tempatan.

Pelbagai inisiatif dijalankan termasuk penggunaan teknologi tinggi, pertanian pintar, pemasaran dalam talian, dan pengurangan import. LPP juga memfokuskan pada penggunaan inovasi seperti Artificial Intelligence (AI), Robotic Process Automation, dan Internet of Things (IoT).

Dalam usaha untuk memberi galakan kepada pengeluar makanan tempatan, kerajaan telah melanjutkan insentif untuk projek pengeluaran makanan sehingga akhir 2025. Ini termasuk pengecualian cukai pendapatan dan potongan cukai untuk syarikat yang melabur dalam projek ini.

Walaupun LPP telah berjaya merekodkan jumlah anggota yang meningkat, termasuk hampir satu juta peladang, aspirasi untuk menjadi peneraju dalam sektor agromakanan negara memerlukan kesediaan generasi muda untuk bergiat dalam industri pertanian. Tanpa sokongan mereka, kita mungkin terpaksa menghadapi kenaikan harga makanan asas pada masa akan datang.

 

 

Baca : BN umum calon PRK Nenggiri