BARU DITERIMA : PH Johor setuju kerjasama dwiparti bersama Muhyiddin dalam kerajaan

Pakatan Harapan (PH) Johor berkata, kerjasama melangkaui parti yang dicadangkan Muhyiddin Yassin untuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan isu Covid-19 perlu diluaskan sehingga ke peringkat negeri.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, PH Johor berkata mereka memang menyambut baik cadangan yang diusulkan perdana menteri baru-baru ini.

“Sebagai tambahan kepada mesyuarat pusat, penyertaan parti-parti pembangkang di peringkat negeri juga amat penting,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, Syed Ibrahim Syed Noh (pengerusi PKR negeri) dan Liew Chin Tong (pengerusi DAP negeri).

PH Johor berkata semua pihak perlu berganding bahu dalam isu berkenaan agar komunikasi, perundingan dan perbincangan berkesan yang menyeluruh dapat dilaksanakan bagi menangani wabak dan memulihkan ekonomi negara.

Pada 7 Nov lalu Muhyiddin berkata kerajaan mempertimbang kemungkinan memperluas kerjasama dwiparti dengan pembangkang melangkaui Belanjawan 2021.

Katanya antara kemungkinan itu ialah mengundang pembangkang menghadiri mesyuarat tertentu kerajaan.

“Bagi saya ini langkah permulaan, saya fikir untuk satu peringkat lain saya nak pelawa pembangkang untuk sama-sama duduk dalam Majlis Tindakan Ekonomi yang saya pengerusikan tiap-tiap minggu.

“Atau nak uruskan masalah Covid-19, yang saya pengerusikan tiap-tiap hari,” katanya.

Pada masa sama PH Johor berpendapat rakyat di negara ini sedang berdepan keletihan pandemik ekoran pelaksanaan pelbagai peringkat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Hal itu, kata mereka, disebabkan kesulitan ekonomi yang dialami kesan wabak Covid-19.

Justeru kata PH Johor mereka menyarankan PKP Bersyarat wajar dilaksanakan secara bersasar iaitu mengikut keperluan daerah atau kawasan perbandaran saja, bukannya menyeluruh ke atas sesebuah negeri.

PH Johor juga berpendapat penguatkuasaan undang-undang perlu dijalankan secara lebih wajar oleh pihak yang berkenaan sebelum dikenakan tindakan.

“Berdasarkan tempoh semasa yang seharusnya merupakan perintah kawalan pergerakan pemulihan, unit penguatkuasaan undang-undang seperti pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Malaysia perlu menerapkan polisi penguatkuasaan berhemah dengan memberikan tumpuan menggalakkan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard, kecuali jika mereka ingkar terhadap nasihat yang diberikan,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/550216