SAKIT gigi boleh berlaku pada bila-bila masa, termasuklah pada bulan Ramadan.
Dalam situasi ini, ada dalam kalangan kita yang ragu-ragu untuk mendapatkan rawatan kerana risau ia akan membatalkan ibadah puasa.
Menurut penjelasan mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, mencabut gigi tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa.
Jelasnya menerusi Maktabah Al-Bakri, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menjelaskan bahawa mencabut gigi pada siang Ramadan bagi orang yang berpuasa adalah diharuskan dan perkara itu tidak membatalkan puasanya.
Akan tetapi dengan syarat tidak ada sesuatu pun yang masuk ke dalam jauf.
Adapun keluarnya darah disebabkan cabutan gigi tidak menjejaskan puasa, sebaliknya orang yang berpuasa itu hendaklah berusaha semampu mungkin mengelakkan daripada menelan darah itu.
Selain itu, Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah juga ada mengeluarkan pendapat bahawa semata-mata mencabut gigi pada siang hari Ramadan tidak membatalkan puasa.
Akan tetapi jika ada sesuatu seperti air atau darah yang masuk ke dalam jauf, maka puasanya terbatal.
Seterusnya bagi orang yang puasanya terbatal disebabkan perkara tersebut, hendaklah menahan diri (daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa) pada siang hari yang berbaki, demi menghormati bulan Ramadan, dan dia wajib menggantikan (qadha’) puasa pada hari itu.
Walau bagaimanapun, adalah lebih baik sekiranya dia dapat menangguhkan terlebih dahulu urusan mencabut giginya itu sehingga malam hari atau selepas bulan Ramadan.
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, Zulkifli berpendapat bahawa mencabut gigi di siang hari bagi orang yang berpuasa adalah diharuskan dan puasanya masih dikira sah.
Akan tetapi dengan syarat dia hendaklah berusaha semampu mungkin mengelakkan daripada menelan darah atau apa-apa cecair yang keluar semasa proses cabutan gigi itu.
Seterusnya, Zulkifli menyarankan agar dia hendaklah membersihkan mulutnya dengan berkumur-kumur, agar tidak ada tidak ada sesuatu pun daripada darah mahupun ubat-ubat yang digunakan ketika proses mencabut gigi, masuk ke dalam jaufnya.
Selain daripada itu, Zulkifli juga menyarankan jika tiada keperluan mendesak untuk mencabut gigi dengan segera, maka menangguhkan terlebih dahulu urusan tersebut sehingga malam hari atau selepas bulan Ramadhan adalah lebih baik.
Baca juga: Pakcik ini curi peluang kumpul pahala mudahkan penunggang motor baru balik dari
Baca juga: KKM tegur usahawan terkenal gaul makanan guna sarung tangan kuning