AMK gesa Amanah dan DAP patuh pada Anwar walau bersama Umno?

Sokongan wakil rakyat Umno kepada Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu perlu dirai, kata seorang pemimpin Pemuda PKR mengulas khabar angin mengatakan semakin ramai wakil rakyat parti itu menyokong Anwar.

Setiausaha Pemuda, Ahmad Syukri Ab Razak, berkata, peluang itu perlu digunakan sebaik mungkin untuk meneruskan agenda reformasi.

“Sokongan pemimpin Umno terhadap Anwar perlu diraikan sebagai peluang untuk Anwar menjalankan usaha reformasi yang telah tertangguh,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas khabar angin mengatakan semakin ramai wakil rakyat Umno menyokong Anwar yang akan menghadap Agong pada Selasa, mengatakan sokongan mereka merupakan nilai tambah dalam usaha membentuk kerajaan yang stabil dan kukuh.

Beliau bagaimanapun bertegas wakil rakyat Umno yang mempunyai kes mahkamah perlu meneruskan perbicaraan, walaupun membuat keputusan menyokong Anwar.

“Permuda PKR percaya Anwar tidak akan berkompromi dengan prinsip integriti dan ketelusan. Oleh itu, apa juga sokongan yang diberikan oleh mana-mana pemimpin terhadap Anwar bukanlah jalan keluar untuk pemimpin itu terselamat daripada dakwaan salah laku. Proses mahkamah perlu dihormati,” katanya.

Beliau percaya Amanah dan DAP akan menyokong penuh Anwar walaupun bersama wakil Umno untuk membentuk kerajaan.

“Keutamaan sekarang adalah menyelamatkan rakyat daripada wabak bahaya dan meletakkan semula Malaysia pada landasan yang betul dalam semua aspek,” katanya.

Syukri pada 28 Mei lalu mengingatkan PH supaya menumpukan kepada usaha untuk memenangi semula kerajaan dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) berbanding merampas kerajaan di tengah jalan.

Katanya, dengan memperkuatkan sokongan, PH dapat memastikan kerajaan lebih stabil berbanding mengajak wakil rakyat melompat parti.

Semalam Anwar, mengumumkan akan menghadap Agong pada Selasa depan.

Anwar pada 23 Sept mendakwa mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baharu, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

Media turut melaporkan, sokongan wakil Umno kepada presiden PKR itu kukuh dan menyakinkan.

Presiden Umno, Zahid Hamidi, dilapor berkata Umno tidak dapat menghalang ahli Parlimen menyokong Anwar.

Berita penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/10/sokongan-ahli-parlimen-umno-kepada-anwar-perlu-dirai-kata-pemimpin-pemuda-pkr/