8 Individu naik Myvi bertembung Honda Stream, 6 Maut

8 Individu naik Myvi bertembung Honda Stream, 6 Maut.

Enam maut termasuk dua kanak-kanak selepas sebuah Perodua Myvi dinaiki lapan individu terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Batu 13 Jalan Mersing-Kluang, di sini, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.40 petang ketika kejadian Perodua Myvi terbabit dalam perjalanan dari arah Kluang ke Kahang untuk berkelah di pantai Air Papan Mersing.

Kemalangan itu turut menyebabkan lima yang lain cedera masing-masing daripada kedua-dua kenderaan terbabit.

Lima daripada korban nahas itu disahkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini, Ahad.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shamsul Amri Mohd Shahab berkata lima mangsa yang maut di lokasi kejadian adalah Masrina Kahdar, 21; Muhammad Zharfah Noramin, 16; Muhammad Syakir Noramin, 11; Mohammad Ashraf Radiq Abdullah, 11 dan Muhammad Adil Abdul Kadir, 23.

“Mayat semua lima mangsa terbabit kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Tiga lagi yang cedera dalam Perodua Myvi itu membabitkan dua dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Turut cedera pemandu dan dua penumpang di dalam sebuah lagi kenderaan terbabit kemalangan iaitu Honda Stream termasuk kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah jentera dengan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi bersama EMRS sejurus menerima panggilan.

“Tindakan operasi diambil untuk membantu mengeluarkan seorang mangsa di dalam Honda Stream menggunakan peralatan khas penyelamatan.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kluang menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

“Mangsa lain bagaimanapun dikeluarkan dengan bantuan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya.

Sementara itu, maklumat terkini mengesahkan seorang lagi mangsa yang sedang menerima rawatan di hopspital iaitu Siti Nurzannah Kahdar, 25, turut disahkan maut.

Siti Nurzannah yang duduk di sebelah pemandu dalam Perodua Myvi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

BACA JUGA:

Disyaki lemas, wanita tenggelam dan gagal dikesan

Aduan pokok bahaya beberapa kali dibuat, pihak berwajib hanya mencantas dahan

Kehilangan ibu, asbab pintu taubat hadir dalam diri Mak Nyah