14 pertuduhan rasuah, Zahid tidak mengaku salah

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, atas 12 pertuduhan pindaan bagi kes pecah amanah dan dua pertuduhan pindaan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan kepada Ahmad Zahid, 67, selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda 14 pertuduhan itu.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan penambahan satu perkataan, iaitu ‘penguasaan’ dalam pertuduhan pecah amanah pertama hingga 10 serta 19 dan 20, serta membuang perkataan ‘penambahan’ dalam pertuduhan rasuah ke-14 dan 15.

Mengikut 12 pertuduhan pindaan, Ahmad Zahid sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta itu milik yayasan berkenaan, didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM31 juta milik yayasan terbabit di Affin Bank Bhd cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India, di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan rasuah pula, Ahmad Zahid didakwa menerima rasuah daripada Pengarah Data Sonic Group Berhad, sebagai upah bagi dirinya sebagai penjawat awam, iaitu Menteri Dalam Negeri ketika itu, dan oleh sebab itu, syarikat berkenaan dilantik bagi melaksanakan perolehan pembekalan cip pasport untuk tempoh lima tahun.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Dataran Maybank, Jalan Maarof, Bangsar, di sini, pada 26 April 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid, berkata pihaknya tidak bersetuju dengan pindaan itu kerana pemakluman mengenainya agak lambat.

“Kami terkejut, dan ia hanya dimaklumkan kepada kami, pagi ini. Kami tidak bersetuju dengan permohonan ini… pada masa sama, kami ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami mahu hak kami bawah Seksyen 162 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk memanggil saksi-saksi, diiktiraf. Kami serahkan kepada mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran pula berkata pindaan terhadap pertuduhan itu tidak akan memberi kesan sehingga boleh mengubah ciri kesalahan berkenaan.

“Tidak akan timbul soal prejudis kerana pertuduhan yang dipinda itu hanya pindaan kecil,” katanya.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung hari ini

Berita penuh: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/08/719886/ahmad-zahid-mengaku-tidak-bersalah-atas-14-pertuduhan-pindaan