Puas menangis hampir setiap malam mengenang cinta yang seolah-olah tidak bersahut, usahawan online popular, Lydia Rosli mengakui perasaannya terhadap penyampai radio sensasi, Tyzo kini semakin pudar.
“Tahun lepas, saya memang nak kahwin dengan Tyzo. Saya mula rasa penat dengan situasi ini. Saya rasa dia tidak mahukan saya. Jadi saya ambil keputusan untuk menjauhkan diri.
“Tetapi bila saya pergi, dia datang mencari saya. Mungkin sudah sifat lelaki sebegitu. Sekarang ini saya cuma serahkan pada takdir,” kata Lydia yang juga anak kepada aktres veteran, Normah Damanhuri mengenai hubungannya dengan Tyzo.
Menurut Lydia atau nama lengkapnya Nor Lydia Rosli, cintanya sebelum ini hanya untuk Tyzo, namun penyampai radio Ikim FM itu seperti belum bersedia untuk membawa hubungan mereka ke gerbang perkahwinan.
“Saya memang sukakan Tyzo tetapi saya rasa perasaan Tyzo sebaliknya. Tetapi nak kata saya bertepuk sebelah tangan itu tidak juga. Dia melayan saya dengan sangat baik. Kami selalu pergi ‘out station’ bersama.
“Untuk bercinta, mungkin dia lambat sikit. Tetapi terus terang saya beritahu memang saya cinta dan nak kahwin dengan dia.
“Tetapi saya tak boleh buat apa-apa sebab saya perempuan. Saya kena tunggu lamaran daripada dia,” katanya sewaktu ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kedua ST Rosyam Mart, di sini, Sabtu lalu.
Hadir ke acara yang sama berdua, sehingga kini Lydia masih berkawan baik dengan Tyzo biarpun hubungan mereka pernah terputus selama enam bulan.
“Jun lalu dia kembali menghubungi saya sambil menangis dan beritahu dia masih ingin berkawan dengan saya dan tidak mahu kehilangan saya.
“Saya beritahu dia bahawa saya tidak pandai untuk berkawan. Saya hanya tahu jadi kekasih. Tetapi dia meyakinkan saya bahawa kami boleh menjadi kawan.
“Selama ini saya tidak pernah ada kawan lelaki. Kalau ada pun kekasih. Tetapi sudah 10 tahun saya tidak berkawan dengan mana-mana lelaki. Hati saya memang sudah tertutup sehinggalah saya bertemu dengan Tyzo,” kongsinya.
Hubungan Lydia dan Tyzo turut mendapat restu dari ibunya yang sukakan Tyzo dan mahu menjadikan lelaki itu sebagai menantu.
“Mak suka dengan Tyzo. Raya tahun lepas mak pernah berbual menerusi panggilan video dengan Tyzo dan tanya dia bila nak masuk meminang.
“Hubungan saya dengan anak Tyzo juga rapat. Malah ketika hubungan kami terputus selama enam bulan, saya masih berhubung dengan anaknya.
“Saya sudah anggap anak dia macam anak saya sendiri. Anak dia juga panggil saya dengan panggilan Mummy.
Sebelum ini pernah timbul gosip mengatakan Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zoqarnain Idris, 48, dan Lydia sedang hangat bercinta apabila kerap dilihat bersama dalam beberapa majlis. Lydia juga kerap berkongsi gambarnya bersama Tyzo dalam akaun media sosial.
Baca: Makin banyak orang muda muflis, peguam dedah sebab sebenar