Percutian sepatutnya menjadi waktu untuk merehatkan minda, tetapi sebuah video yang tular baru-baru ini memaparkan seorang pemandu pelancong memaki sekumpulan pelancong di Tianjin, China.
Kejadian ini mencetuskan pelbagai reaksi dan perhatian dari pihak berkuasa.
Menurut laporan dari China Press, percutian ini dianjurkan oleh sebuah agensi pelancongan tempatan di China dan diketuai oleh seorang pemandu pelancong wanita dengan nama Deng.
Dalam video tersebut, Deng kedengaran memarahi pelancong kerana tidak berbelanja banyak di tempat tarikan pelancong.
“Di sini ada 52 orang dan kalian semua hanya membelanjakan sejumlah 900 yuan (RM580), saya hilang banyak duit disebabkan ini. Punya ramai yang keluar dengan tangan kosong apabila saya meminta semua orang untuk membeli sebanyak mungkin,” katanya dengan nada marah.
Tidak cukup dengan itu, dia juga berkata, “Kamu semua sudah tua. Saya tidak tahu apa yang salah dengan semua orang. Kamu memalukan penduduk Taiyuan (tempat asal kumpulan pelancong tersebut).”
Dia kemudian menambah, “Jika kamu berbelanjangkan duit, kamu adalah Tuhan, jika tidak, kamu hanyalah najis!”
Deng kemudian meminta mereka yang tidak membeli apa-apa untuk kembali ke kedai dan membeli barang bernilai sekurang-kurangnya 1,000 – 2,000 yuan (RM644- 1,288) sebelum meninggalkan tempat tersebut.
Difahamkan bahawa video ini dirakam semasa sekumpulan pelancong itu bercuti 4 hari di kawasan tersebut.
Selepas video tersebut tular di media sosial, Biro Kebudayaan dan Pelancongan Perbandaran Tianjin menyiasat perkara ini dan mendapati bahawa pemandu pelancong tersebut tidak memiliki lesen yang sah.
“Sijil pemandu pelancongnya telah dibatalkan pada 9 September 2023 kerana dia tidak membuat permohonan baharu selepas tamat tempoh.”
Pihak berkuasa bercadang untuk mendendanya maksimum 30,000 yuan (RM19,325) dan menarik balik komisyen yang diperolehinya daripada kumpulan pelancong tersebut.
Keputusan mengenai penalti ini akan dibuat selepas prosedur undang-undang diselesaikan.
Baca : Lelaki selamba bawa masuk anjing dalam restoran dikecam