Bahagian Media & Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini mengecam tindakan Meta menurunkan hantaran gambar di Instagram yang memaparkan perjumpaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di Doha, Qatar, pada Mei lalu.
Dalam kenyataan rasmi PMO, tindakan Meta itu ternyata memperlihatkan diskriminasi pemilik platform media sosial itu terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara terbabit.
“Tindakan ini ternyata memperlihatkan diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara itu.
“Sehubungan itu, pihak kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini, dan mendesak Meta memohon maaf,” kata PMO dalam satu kenyataan.
Berdasarkan tangkap layar yang dikongsikan bersama kenyataan itu, Meta bertindak menurunkan perkongsian pertemuan itu semalam.
Hantaran itu antara lain berkongsi kenyataan sempena lawatan rasmi Anwar ke Qatar pada Mei lalu, di mana Perdana Menteri sempat bertemu Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang dilapor dibunuh di Iran awal pagi Rabu.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail Haniyeh.
“Pembunuhan ini ternyata sangat tragik dan kejam yang jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza yang telah meragut lebih dari 40,000 nyawa.
“Rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan saya amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan saudara Ismail.
“Mereka yang telah mengkritik saya saat ketemu saudara Ismail sebelum ini telah gagal menghargai keinginan mendalam almarhum untuk sebuah Timur Tengah yang aman dan pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan.
“Saya berduka atas kehilangan seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin,” katanya.
Baca: Peniaga OKU guna satu tangan je kopek durian, “kita yang sempurna pun berkicap nak buka..”