Bekas ketua jurulatih Tajikistan, Petar Šegrt menyuarakan minatnya untuk menggantikan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.
Menurut laporan Scoop, Petar bersedia sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan tawaran kepadanya untuk menjadi ketua jurulatih baharu Malaysia.
“Saya amat menghormati Pan-gon, dan saya mengagumi apa yang telah beliau lakukan untuk bola sepak Malaysia dengan mengangkatnya menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
“Selain itu, saya juga menyayangi peminat dan rakyat di Malaysia, kerana mereka sentiasa mesra setiap kali saya singgah di Kuala Lumpur. Ya, saya selalu ingin mencubanya di Malaysia,” kata Petar Šegrt.
Jurulatih berusia 58 tahun itu sebelum ini pernah membimbing Tajikistan muncul sebagai juara Pestabola Merdeka 2023 dengan menewaskan Malaysia di perlawanan akhir.
Mempunyai karakter menarik dan menerapkan corak permainan menyerang, Petar dianggap salah satu calon yang sesuai bagi menggantikan Pan-gon yang meletak jawatan baru-baru ini.
Selepas Kim Pan-gon meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, penolong beliau iaitu Pau Marti Vicente diberi tanggungjawab untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya.
Sementara itu, jurulatih yang pernah mengemudi skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) iaitu E.Elavarasan pula diangkat menjadi penolong ketua jurulatih.
Pada masa yang sama, FAM turut memgesahkan staf-staf kejurulatihan yang lain seperti Park Bobae (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Jihyeon Park (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi) kekal bersama skuad kebangsaan untuk membantu Pau Marti.
Tugasan pertama Pau Marti bersama skuad kebangsaan ialah menghadapi saingan Pesta Bola Merdeka 2024 yang akan disertai Tajikistan, Lubnan dan Filipina pada September nanti.
Sekiranya terus diberikan kepercayaan, maka Pau Marti akan membimbing Malaysia untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dan juga saingan Piala AFF Mitsubishi Electric pada Disember ini.