Pelakon, pelawak, dan pelukis terkenal, Imuda, 65, kini bergelar Datuk selepas menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri sempena Hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Pulau Pinang, hari ini.
Imuda, atau nama sebenarnya A Rahim Muda, adalah antara 103 penerima Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang, dan Pingat Kehormat Negeri.
“Saya berasa amat bangga kerana menerima penganugerahan daripada TYT Pulau Pinang. Selepas begitu lama berkecimpung dalam dunia hiburan sejak 40 tahun lalu, inilah masa dan saatnya untuk meraikan kejayaan. Bukan saja untuk diri saya tetapi juga buat seluruh anak seni yang lain di negeri Pulau Pinang,” katanya dalam sebuah temubual dengan media tempatan.
Imuda memulakan kerjayanya sebagai pelukis dengan syarikat penerbitan tempatan sebelum melebarkan sayap bersama Dewan Bahasa dan Pustaka. Karya-karyanya banyak diterbitkan untuk Gila-Gila, Berita Minggu, dan Gelihati.
Sepanjang kerjayanya dalam dunia seni, selain popular dalam siri komedi, beliau pernah membintangi puluhan filem-filem popular antaranya Mekanik, Kembara Seniman Jalanan, Hati Bukan Kristal, Mat Gelap, Mat Som dan banyak lagi.
Pengiktirafan ini bukan sahaja memberi penghormatan kepada Imuda secara peribadi tetapi juga mengangkat martabat seluruh anak seni di negeri Pulau Pinang. Kejayaan ini menjadi bukti dedikasi dan sumbangan besar beliau dalam industri hiburan tanah air selama empat dekad.
Baca : Makcik kelam kabut ingat RM30K hilang dalam tabung haji rupanya termasuk akaun bank sendiri