Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor hari ini mencadangkan agar gelaran ‘Tan Sri’ yang dipakai terhadap bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin digugurkan.
Cadangan itu disuarakan oleh Pengarah Komunikasi Amanah Johor, Mohd Faizul Salleh (gambar) berikutan penghinaan Muhyiddin terhadap institusi Raja-Raja Melayu dalam salah satu siri ceramahnya ketika PRK Nenggiri baru-baru ini.
Faizul turut mendakwa tindakan tersebut jelas menunjukkan rendahnya akhlak sebagai seorang pemimpin yang dibawa Muhyiddin sehingga sanggup mempersendakan Yang Di Pertuan Agong (YDPA) di khalayak ramai.
“Kita kena hormat institusi di raja, bukan mencela atau menghina kerana ianya bertentangan dengan adat orang melayu sedangkan semangat itulah yang diperjuangkan oleh partinya (PPBM).
“Tindakan mengheret institusi Di Raja ke dalam dunia politik seperti yang dibawa Muhyiddin sangat memalukan bangsa Johor dan ianya tidak boleh di terima,” tegasnya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Ketua Amanah Kawasan Muar itu juga turut memohon kepada YDPA, Sultan Ibrahim untuk menarik semula gelaran kebesaran yang pernah diperolehi Ahli Parlimen Pagoh itu.
Menurut Faizul lagi, ia sebagai suatu amaran yang jelas terhadap mereka yang berani menghina institusi Raja-Raja Melayu dalam negara ini.
“Takkanlah nak sambut Merdeka tahun ini dengan membawa slogan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu, itu salah.
“Saya juga memohon jasa Tuanku Sultan Ibrahim selaku YDPA untuk menarik semula semua gelaran yang pernah dikurniakan kepada Muhyiddin sebagai pengajaran terhadap keceluparan beliau,” tegasnya lagi.
Sebelum ini Muhyiddin dalam satu ceramah telah mengungkap cerita panjang peristiwa yang berlaku terhadap dirinya yang gagal menjadi Perdana Menteri serta menganggap ianya berpunca dari kelemahan YDPA ketika itu iaitu Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam komennya di media sosial menitahkan seorang pengguna media sosial supaya menghormati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut sama, hal itu disambut oleh Tengku Mahkota Pahang yang murka terhadap Muhyiddin dalam satu kenyataan yang dikemukan media hari ini.
Baca juga : Zahid mula tunjuk kuku besi