Motosikal dilanggar van, seorang pelajar UiTM maut.
Seorang pelajar Universiti Teknolgi MARA (UiTM) maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka dilanggar sebuah van di Simpang Empat Paya Jemerli, dekat Kulim, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata dalam kejadian jam 5.20 petang semasa motosikal ditunggang pelajar UiTM Cawangan Permatang Pauh, Pulau Pinang itu dipercayai keluar dari satu simpang secara mengejut.
Beliau berkata, van yang dipandu lelaki berusia 20-an yang sedang dalam perjalanan dari arah Baling menghala ke Bukit Mertajam itu dikatakan tidak sempat mengelak, lalu terlanggar motosikal Modenas Kriss pelajar lelaki berkenaan.
“Pelanggaran menyebabkan van itu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y16 yang ditunggang lelaki berusia 30-an,” katanya.
Mohd Redzuan berkata, pelajar yang menunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya yang mengalami kecederaan parah sedang dirawat di Hospital Kulim.
“Seorang lagi penunggang motosikal yang mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan pesakit luar di hospital yang sama manakala pemandu van tidak mengalami kecederaan,” katanya dan memaklumkan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BACA JUGA:
Andi Suryady Sokong Hajiji, akur tindakan yang bakal diambil pucuk pimpinan UMNO
Kebakaran flat, seorang lelaki rentung ditemui
OECD laporkan, lelaki Switzerland mempunyai jangka hayat paling tinggi di dunia