Meninggal dunia dalam kemalangan, ketika dalam perjalanan ambil cucu di sekolah

Meninggal dunia dalam kemalangan, ketika dalam perjalanan ambil cucu di sekolah. Seorang warga emas dipercayai dalam perjalanan mengambil cucu di sebuah sekolah maut akibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat Pejabat Pendidikan Daerah Telipot di sini.

Ketika kejadian pada jam 1 petang Ahad itu, mangsa, Abdullah Seman, 71 menunggang motosikal Yamaha Lagenda dari arah Taman Maju ke Masjid Telipot melalui Jalan Telipot.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa ketika tiba di lampu isyarat telah dikesan meneruskan perjalanan ke sekolah.

“Pada masa sama datang sebuah lori dari persimpangan kiri mangsa dan terlanggar bahagian sisi kiri motosikal yang ditunggangnya.

“Kemalangan menyebabkan mangsa terjatuh dan topi keledar tertanggal mengakibatkan kecederaan teruk di bahagian kepala,” katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Mohd Rosdi memberitahu, warga emas itu kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia untuk bedah siasat.

“Polis kini masih sedang mengesan pemandu lori dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

BACA JUGA:

Nak main lato-lato kena berhati-hati! Ni doktor pesan beberapa tip keselamatan, elak cedera

Nak makan kerabu maggi ala Thailand? Hahh, ni resipi kerabu maggi yang boleh kita cuba dan buat sendiri

Nak bersedekah? Sedekah dengan adik-beradik yang susah adalah yang paling afdal, paling tinggi kedudukan