Kerajaan rombak pentadbiran awam, 4 KSU tukar kementerian

Kerajaan rombak pentadbiran awam, 4 KSU tukar kementerian. Kerajaan melakukan rombakan dalam pentadbiran awam membabitkan pertukaran Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan pelantikan ketua pengarah.

Berdasarkan senarai yang dilihat, pusingan kerja pengurusan tertinggi kerajaan itu membabitkan beberapa kementerian dengan pelantikan berkenaan berkuat kuasa 17 Januari.

KSU Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Lokman Hakim Ali bertukar ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dengan jawatan sama.

Jawatan KSU MITI pula diisi Datuk Isham Ishak yang sebelum ini KSU Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan kekosongan ditinggalkannya diisi KSU Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M Jana Santhiran.

KSU Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Rosli Isa pula bertukar ke Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dengan jawatan sama.

Sementara itu, bekas KSU Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof bertukar ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi).

Datuk Hishamuddin Mohd Sujak pula yang sebelum ini Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan, dilantik sebagai Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz menerusi perkongsian di Facebook, merakamkan penghargaan di atas sumbangan Lokman Hakim sepanjang menjadi KSU kementeriannya.

“Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu sangat bertuah menerima kehadiran seorang KSU yang hebat seperti Lokman Hakim. Selamat kembali juga saya ucapkan kepada Datuk Isham Ishak, KSU baharu MITI.

Sebagai orang yang sudah berpengalaman menerajui MITI dahulu, saya percaya beliau dapat melaksanakan tugas dalam memastikan MITI terus kekal sebagai enjin utama ekonomi negara,” katanya.

BACA JUGA :

Sikap prihatin yang tinggi, punca Rohingya bakal jadi beban kekal Malaysia

Sarawak bakal bina satu lagi Muzium Budaya Borneo di Bintulu

Menteri Komunikasi dan Digital berpendapat, trailer filem Pulau tidak sesuai ditayangkan