Anwar melangkah naik atau terjerumus jatuh?

Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 23 September lalu, tepat seminggu setelah Hari Malaysia telah mengumumkan beliau mendapat sokongan mencukupi ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Ia mengingatkan kembali usaha serupa yang dibuat beliau 12 tahun yang lalu.

Pada malam Hari Malaysia pada tahun 2008, Anwar berkata kepada puluhan ribu penyokong di Stadium Kelana Jaya di Petaling Jaya bahawa Pakatan Rakyat, gabungan politik sebelum Pakatan Harapan, telah memperolehi jumlah ahli parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Anwar menyebut mengenai mengambil alih kuasa sejak sebulan sebelumnya dan mengundang maklum balas Abdullah Ahmad Badawi perdana menteri ketika itu, yang pada 8 September menghantar 49 ahli parlimen BN ke Taiwan dalam apa yang dikatakan sebagai “lawatan sambil belajar”.

Kenyataan bahawa Abdullah bertindak balas sedemikian menunjukkan memang terdapat rasa tidak puas hati di antara sekurang-kurangnya beberapa ahli parlimen BN yang mempertimbangkan untuk berpaling tadah.

Bagaimanapun, pengumuman terbuka Anwar juga bermakna perdana menteri ketika itu berusaha secara aktif untuk menyekat kemaraan langkahnya.

Dibayangi rancangan 16 September

Anwar, pada masa itu, mendakwa beliau mendapat sokongan sekurang-kurangnya 31 ahli parlimen BN selain 81 ahli parlimen Pakatan Rakyat, yang memberi beliau majoriti mencukupi di kalangan 222 anggota Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, 16 September 2008 datang dan apa yang berlaku hanyalah kenyataan oleh Anwar yang ingin bertemu dengan Abdullah mengenai peralihan kuasa. Beberapa bulan lagi berlalu tetapi tidak ada yang menjadi kenyataan.

Anwar mungkin telah merancang sesuatu tetapi kegagalannya melemahkan semangat penyokongnya dan sejak itu beliau ‘dibayangi’ rancangan 16 September.

Oleh itu, tidak menghairankan kegagalan rancangan 16 September 2008 dibangkitkan lagi ketika Anwar membuat pengumuman terbarunya di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga telah berusaha mendapatkan kembali majoriti selepas kehilangan kuasa dalam Langkah Sheraton.

Bagaimanapun, cubaan Dr Mahathir setakat ini tidak membuahkan hasil.

Mahathir juga antara pihak yang membangkitkan kejadian 12 tahun lalu ketika menyatakan keraguannya terhadap langkah terbaru Anwar itu.

Berbanding pada tahun 2008, Anwar kini berada di landasan yang lebih kuat untuk mendapatkan ahli parlimen mencukupi untuk berpaling tadah.

Pada 2008, Abdullah mempunyai majoriti 29 kerusi. Muhyiddin mempunyai tiga di Dewan Rakyat sekarang. Pada tahun 2008, Pakatan Rakyat mempunyai 81 ahli parlimen. PH pula mempunyai 91 ahli parlimen di Dewan Rakyat sekarang dengan 12 MP lagi daripada Warisan, Upko dan PSB yang mungkin perlu diyakinkan.

Tetapi pengumuman Anwar pada 23 September lalu menyebabkan ahli parlimen yang mungkin berpaling tadah terdedah identitinya dengan beberapa MP Umno didakwa terpaksa menafikan mereka terlibat dalam langkah politik ini.

Walaupun keadaan semasa menunjukkan tidak terlalu sukar untuk Anwar mengambil alih kerajaan tetapi pertaruhannya juga lebih tinggi.

Kegagalan atau kejayaan langkah Anwar kali ini boleh membawanya ke puncak kuasa atau memudarkan harapan masa depan kerjaya politiknya.

Selama beberapa dekad, Anwar memainkan peranan penting dalam politik Malaysia.

Sejak zaman aktivis mahasiswa hingga ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kemudian bangkit menjadi timbalan perdana menteri dan jatuh serta bangun kembali sebagai ketua pembangkang, Anwar telah membuktikan dirinya sebagai ahli politik yang tahan lasak.

Kejayaan akhirnya akan menyaksikan Anwar mencapai cita-citanya untuk menjadi perdana menteri, impian yang sering kali terlepas daripada genggamannya selama beberapa dekad.

Gagal bukan pilihan Anwar

Pada akhir Februari, tidak lama selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan, Anwar meyakinkan sekutunya untuk menyokongnya sebagai calon perdana menteri berbanding Mahathir.

Ini selepas Mahathir mahukan kerajaan campuran yang tidak mengikut garis pendirian parti dan tidak terikat dengan manifesto pilihan raya umum ke-14 sekiranya beliau kembali berkuasa.

Yakin Anwar dapat mengatasi kekurangan sokongan ahli parlimen, Pakatan Harapan menyokongnya berbanding Mahathir.

Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/544099