50 tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri disediakan MBJB tahun ini

50 tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri disediakan MBJB tahun ini. Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyediakan 50 tapak bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri pada tahun ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, kawasan tersebut melibatkan 2,793 petak peniaga dan pihaknya sudah pun menerima permohonan untuk menyewa tapak perniagaan.

“Permohonan ini melibatkan 43 lokasi Bazar Ramadan; tiga lokasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri serta empat Bazar Aidilfitri.

“MBJB akan memanggil penganjur dalam masa terdekat untuk diberikan Taklimat Pelesenan dan Kebersihan Bazar Ramadan dan Aidilfitri.

“Semua penganjur perlu menjaga kebersihan kawasan tapak bazar, mendapatkan suntikan anti typhoid yang sah, amalkan pengendalian makanan bersih serta meninggalkan kawalan lalulintas,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Ibu Pejabat MBJB, di sini pada Rabu.

Sementara itu, beliau berkata, pihak MBJB menyediakan ruang dan memberikan kebenaran kepada penggiat seni mural dan grafiti untuk menunjukkan bakat mereka di sekitar bangunan rumah kedai Jalan Trus di sini.

“Namun begitu, MBJB mensyaratkan agar setiap grafiti dan mural dihasilkan perlulah bertemakan kepada sejarah dan warisan Johor Bahru agar dan tidak mengandungi unsur provokasi atau melanggar sensitiviti masyarakat.

“Sebelum ini, MBJB mengecat semula dinding dan lokasi seni grafiti dan mural yang dirasakan tidak bersesuaian,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MBJB merekodkan tunggakan cukai harta sebanyak RM268 juta sepanjang tahun lalu.

Katanya, bagi memastikan penduduk terbabit membayar tunggakan, operasi penguatkuasaan akan dijalankan di kawasan-kawasan kediaman yang dikenal pasti termasuklah kawasan kediaman mewah seperti Country Garden Danga Bay dan R&F Tanjung Puteri.

“Selain itu turut menjadi tumpuan adalah Kawasan Perindustrian Tampoi, Bandar Baru Permas Jaya, Stulang, Taman Bayu Puteri, Taman Setia Tropika dan Taman Megah Ria.

“Jenis pegangan yang terlibat dengan tunggakan tertinggi adalah jenis pemerdagangan iaitu 68 peratus dan merangkumi apartmen servis dan juga unit kedai pejabat manakala kedua tertinggi adalah perumahan sebanyak 23 peratus dan perindustrian tiga peratus,” katanya.

BACA JUGA:

Andi Suryady Sokong Hajiji, akur tindakan yang bakal diambil pucuk pimpinan UMNO

Kebakaran flat, seorang lelaki rentung ditemui

OECD laporkan, lelaki Switzerland mempunyai jangka hayat paling tinggi di dunia